Bola sepak kudung semakin berkembang di Eropah, di Malaysia masih perlukan pengiktirafan
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) semakin ke hadapan dalam mengiktiraf bola sepak kudung dengan penganjuran edisi ketiga Amputee Football Champions League pada bulan lalu di Krakow, Poland.
Kejohanan yang berlangsung pada 20 hingga 22 Mei itu disertai oleh tujuh pasukan dari serata Eropah termasuk gergasi bola sepak Inggeris, Manchester City dan akhirnya dimenangi oleh pasukan Turki, Etimesgut Amputee Sport Club.
Bola sepak kudung semakin mendapat sambutan di Eropah berikutan sokongan kuat daripada badan induk itu dan juga usaha keras Persatuan Bola Sepak Kudung Eropah (EAFF) dalam mempromosikan sukan itu dengan penganjuran kejohanan berskala besar di samping penaja-penaja yang turut menyalurkan sokongan kewangan.
Kedua-dua badan induk itu turut giat mempromosikan sukan itu di peringkat akar umbi dengan menggalakkan kanak-kanak yang kudung untuk menyertai sukan tersebut.
Di Malaysia, ramai yang masih tidak mengetahui akan kewujudan pasukan bola sepak kudung negara yang dikenali sebagai Harimau Kudung.
Ini kerana, tiada pihak yang sudi tampil ke hadapan untuk mewakili pasukan ini secara rasmi serta kurangnya pendedahan kepada masyarakat.
Ketua jurulatih skuad Harimau Kudung, Sunny Shalesh sebelum ini juga pernah berkata bahawa mereka ketika ini tidak bernaung di bawah mana-mana persatuan sukan dan bergerak sendiri.
Beliau juga berharap supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh menjadi penaung kepada pasukan itu.
FAM mungkin boleh mewujudkan satu badan khas di bawahnya untuk menyelia bola sepak kudung di negara ini bagi meningkatkan lagi pendedahan serta memberi pengiktirafan kepada mereka.
Selain itu, sebagai sebuah negara yang mempunyai pengaruh kuat dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia boleh menggunakan pengaruh itu untuk mengangkat dan mengiktiraf sukan itu di peringkat Asia seperti yang dilakukan UEFA.
Bola sepak kudung kini sudah pun diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan semakin berkembang di seluruh dunia.
Jadi Malaysia juga harus agresif dalam memberi pengiktirafan rasmi kepada sukan ini di peringkat nasional supaya lebih ramai lagi bakat-bakat baru yang tampil ke hadapan.
Selain itu, ia secara langsung dapat mengangkat lagi martabat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terutama dalam bidang sukan.