Nama SNBJ mungkin akan tinggal kenangan, penjenamaan semula adalah satu perkara baik

1,847

Sejak mula beroperasi tahun 1998, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sudah menjadi satu ikon buat negara terutama peminat bola sepak tempatan kerana ia merupakan home Harimau Malaya.

Ia juga merupakan stadium utama di negara ini dan pernah menganjurkan pelbagai acara bertaraf dunia seperti Sukan Komanwel 1998, Piala Asia 2007 dan dua edisi Sukan SEA.


Selepas 24 tahun dikenali dengan SNBJ, nama tersebut mungkin akan menjadi kenangan selepas ini kerana terdapat cadangan untuk dijenamakan semula termasuk menjual hak nama stadium tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya mempertimbangkan untuk melakukan perkara itu bagi menjana pendapatan.

Ia sebenarnya bukanlah satu perkara yang baru malah Axiata Arena yang terletak berhampiran SNBJ sebelum ini juga melalui proses sama pada 2017 apabila namanya diubah daripada Stadium Putra, hasil kerjasama antara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dengan Axiata Group Sdn Bhd menerusi perjanjian 10 tahun bernilai RM55 juta.

Jika dilihat dari segi jumlah wang yang dilaburkan, ia adalah satu perkara yang baik bagi menjana kewangan stadium tersebut dan tidak perlu lagi berharap kepada dana daripada kerajaan.

Lebih-lebih lagi jika mengambil kira reputasi SNBJ yang sebelum ini sudah tercalar akibat keadaaan padang yang amat teruk semasa perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023.

Jumlah wang yang banyak seperti itu boleh digunakan untuk menyelenggara, membaik pulih serta menambah baik SNBJ.

Dengan ini, ‘insiden penyodok’ yang berlaku di stadium itu sebelum ini tidak akan berlaku lagi pada masa depan.

Dari segi pengukuhan jenama, ia boleh memberi manfaat kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk menjalankan kerjasama tersebut kerana stadium itu merupakan pilihan bagi menganjurkan pelbagai acara bertaraf dunia termasuk kejohanan sukan antarabangsa dan juga konsert artis ternama.

Sebagai contoh, jika syarikat gergasi negara, Permodalan Nasional Berhad (PNB) berminat untuk menjalankan kerjasama dengan PSM untuk melabur di SNBJ, mereka boleh mengubah nama stadium tersebut kepada ‘Stadium PNB’ dan ia pastinya meningkatkan lagi jenama syarikat itu.

Nama Axiata Arena sebelum ini juga pernah terpahat sebagai lokasi penganjuran acara sukan bertaraf dunia seperti Malaysia Open dan M1 Mobile Legends World Championships, serta konsert artis antarabangsa seperti Bruno Mars, Twice dan Shawn Mendes.

Ia sedikit sebanyak meluaskan lagi jenama Axiata dalam kalangan peminat sukan dan juga dalam industri hiburan antarabangsa.

Perkara sama boleh berlaku kepada syarikat yang berminat untuk ‘mengambil alih’ SNBJ, jadi ia merupakan situasi menang-menang buat stadium tersebut dan juga syarikat terbabit.