Lagi ramai yang keluar dari masuk, apa nak jadi dengan Melaka United?

11,049

Perlawanan ‘Naning Derby’ di antara Melaka United menentang Negeri Sembilan FC yang berakhir tanpa jaringan baru-baru ini akan menjadi perlawanan terakhir buat pemain tengah Melaka United, Sony Norde.

Perkara ini turut disahkan oleh ketua jurulatih pasukan, Asri Ninggal.


Pemain yang mula beraksi dengan pasukan tersebut pada Januari 2020 telah dikaitkan dengan pasukan Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC.

Ketiadaan Sony menggusarkan peminat kerana pemain berjersi nombor 10 tersebut merupakan antara watak utama pasukan sepanjang tujuh perlawanan musim ini.

Tambahan lagi, aksi tidak konsisten yang ditunjukkan oleh pasukan Melaka United menjadi antara sebab utama peminat menolak pemergian Sony.

Masih belum ada pemain di dalam skuad yang mampu mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan oleh pemain dari Haiti tersebut.

Ini terus menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat yang telah melihat beberapa orang pemain bintang dilepaskan tanpa sebarang alasan kukuh oleh pihak pengurusan pasukan bermula daripada jendela perpindahan yang pertama.

Kehilangan pemain utama seperti Jang Suk-won dan Manuel Ott pada awal musim jelas memberi impak besar kepada prestasi semasa pasukan Melaka United.

Penghijrahan pemain pertahanan, Akmal Zahir untuk beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah terus menambah luka di hati peminat.  

Akmal merupakan antara tonggak utama pasukan yang turut beraksi pada empat perlawanan terakhir pasukan Melaka United sebelum liga berehat untuk memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Perpindahan ini menyebabkan pasukan tersebut akan terus menghadapi masalah untuk memperbaiki persembahan mereka dalam saingan liga.

Semakin membingungkan, sehingga ke hari ini masih belum ada penambahan pemain baru kepada pasukan pada jendela perpindahan kedua yang akan berakhir pada 24 Jun ini.

Diharap agar keadaan ini bukanlah sebuah petanda buruk kepada pasukan tersebut yang sebelum ini rancak mempromosikan pasukan dan dikatakan mendapat dana besar sebelum liga bermula.

Yang terbaru, pemain sayap Faizal Talib telah diumumkan secara rasmi akan bersama pasukan Penang FC secara pinjaman sehingga ke penghujung musim.

Dijangka akan ada beberapa lagi pemain yang akan terus diintai oleh pasukan lain terutamanya Penang FC yang sedang dilatih oleh bekas pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan yang akan cuba membawa pemain yang pernah dilatih beliau ke pasukan baru.

Pihak pengurusan Melaka United perlu segera mengambil tindakan untuk mengembalikan era kegemilangan pasukan tersebut.

Melaka United kini berada di tangga ke-9 Liga Super, mengumpul lapan mata hasil daripada dua kemenangan selepas tujuh perlawanan.