Tiba masanya FAM, MFL pandang serius buli siber dalam arena bola sepak tempatan

346

Dengan kemajuan teknologi dan lambakan masa ini, buli siber dan keganasan dalam talian (online abuse) adalah satu perkara yang biasa dilihat di media sosial.

Sebagai seorang figura umum, pemain bola sepak adalah antara mereka yang paling terdedah kepada perbuatan buli siber dan keganasan dalam talian.


Berdasarkan kajian terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), lebih daripada 50 peratus pemain bola sepak pernah menjadi mangsa buli siber dan online abuse.

Data tersebut diambil ketika kejohanan EURO 2020 dan Piala Negara-Negara Afrika 2021, dengan komen berunsur homofobik (40 peratus) dan perkauman (38 peratus) adalah yang terbanyak.

April lalu, pemain tengah KL City FC, Kenny Pallraj turut menjadi mangsa buli siber gara-gara tindakannya memuatnaik satu InstaStory yang mengatakan bahawa bola sepak Malaysia masih dijajah selepas kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super.

Selepas memuat naik InstaStory tersebut, beliau menjadi mangsa kecaman netizen yang membanjiri ruangan komennya dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat termasuk komen yang berbaur perkauman.

Kenny mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau kesal dengan tindakan segelintir netizen yang mengeluarkan komen berbaur perkauman terhadapnya.

Penjaga gol negara, Farizal Marlias baru-baru ini juga tidak terlepas dari buli siber selepas perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain akibat bentesan yang dilakukannya kepada pemain lawan menghadiahkan penalti yang menjadi gol kemenangan mereka.

Ruangan komen Instagramnya diserang dengan pelbagai kata-kata kesat dan makian daripada peminat bola sepak tempatan yang kecewa dengan kekalahan tersebut.

Sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga Malaysian Football League (MFL) memandang serius dan bertegas dalam isu buli siber terhadap pemain mahupun jurulatih di negara ini.

Jika tidak, perbuatan itu akan menjadi semakin melampau dan boleh memberi kesan terhadap para pemain yang terlibat.

Kedua-dua badan itu mungkin boleh menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan netizen yang mengeluarkan komen melampau melalui alamat IP dan mengambil tindakan ke atas mereka yang meninggalkan komen yang melampau.

Komen-komen yang berunsur perkauman, menyerang keluarga pemain dan juga berbentuk ugutan adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

Malaysia mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh digunakan terhadap pesalah buli siber, jadi undang-undang ini boleh digunakan untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

Selain itu, tindakan atau hukuman susulan seperti larangan masuk ke stadium, denda mahupun penjara juga boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

Di luar negara, pelbagai usaha giat dilakukan oleh penganjur liga dan juga badan induk bola sepak negara bagi mengekang perbuatan buli siber dan keganasan dalam talian.

Ini boleh menjadikan arena bola sepak tempatan lebih ‘bersih’ dan selamat daripada netizen yang tidak bertamadun.