Ranking bukan kayu ukur kekuatan pasukan, Piala AFF 2022 ujian sebenar buat Malayan Tigress
Kedudukan terbaru ranking oleh Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah meletakkan pasukan bola sepak wanita Malaysia menduduki tangga ke-85, naik tiga anak tangga dari kedudukan terdahulu.
Ini sedikit sebanyak mampu menjadi salah satu semangat buat Malayan Tigress menjelang Piala AFF 2022 yang akan berlangsung Julai nanti.
Namun begitu, kedudukan ranking FIFA bukan pengukur kepada kekuatan sesebuah pasukan dan sekarang bukannya masa untuk mendabik dada dengan pasukan di ranking bawah.
Fokus utama skuad negara buat masa sekarang adalah memberi tumpuan sepenuhnya dalam Piala AFF.
Piala AFF adalah medan sebenar untuk menguji kekuatan anak buah Jacob Joseph selaku ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita.
Pasukan kebangsaan bakal berdepan laluan sukar apabila diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan Australia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Pemain yang terpilih untuk menghadapi Piala AFF nanti perlu bekrja keras sekiranya mereka mahu layak ke pusingan seterusnya.
Pemain negara mempunyai tempoh yang singkat untuk mencari keserasian berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghantar pasukan menyertai temasya Sukan SEA Hanoi merencatkan perancangan mereka.
Masa latihan dilihat tidak mencukupi buat pasukan Malayan Tigress untuk menghadapi saingan Piala AFF malah pemain negara juga kurang perdedahan di peringkat antarabangsa.
Hanya perlawanan persahabatan menentang Bangladesh yang diatur seminggu sebelum kejohanan Piala AFF bermula.
Adakah dengan hanya dua perlawanan yang diatur akan cukup untuk mereka menghadapi saingan dalam Kumpulan A nanti?
Di sebalik kekurangan persiapan, diharap kejohanan Piala AFF ini akan menjadi permulaan yang positif buat skuad negara.
Selain itu, pihak media juga diharap dapat memberi liputan meluas kepada skuad bola sepak wanita negara supaya mereka tidak tersisih.
Biarpun berdepan pelbagai halangan, ramai penyokong mengharapkan skuad negara dapat beraksi dengan baik dan mampu membuat kejutan di Piala AFF nanti.
Piala AFF 2022 akan berlangsung pada 4 hingga 12 Julai depan di Binan City, Filipina.