Pemergian W.Y. Chin kehilangan besar buat sukan snuker dan biliard dunia
Dunia snuker dan biliard antarabangsa semalam dikejutkan dengan pemergian pengasas dan bekas Presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF), Datuk Chin Wai Yeong akibat radang paru-paru pada usia 83.
Mendiang yang lebih dikenali dengan nama W.Y. Chin menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 10.45 pagi, dan turut disahkan menghidap demensia.
W.Y. Chin merupakan seorang tokoh yang disegani dalam sukan snuker dan biliard bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden MSBF selama 25 tahun, dari 1986 hingga 2011 dan menjadi individu penting yang telah membawa MSBF ke dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada tahun 1988.
Arena snuker dan biliard negara juga boleh dikatakan berada di zaman kegemilangan ketika beliau memimpin MSBF, dengan legenda snuker negara Sam Chong ketika itu merupakan pemain yang sentiasa mengharumkan nama negara di kejohanan Sukan SEA dan Sukan Asia.
Selain itu, mendiang Wai Yeong juga pernah diberi tanggungjawab di peringkat antarabangsa dengan beberapa jawatan besar iaitu Naib Presiden Eksekutif Konfederasi Sukan Biliard Asia (1984-2006), Naib Presiden Persekutuan Biliard dan Snuker Antarabangsa (2002-2004) dan Setiausaha Agung Konfederasi Sukan Biliard Dunia (1992-1998, 2002-2004).
Beliau juga pernah dilantik sebagai Perwakilan Teknikal pada empat edisi kejohanan Sukan SEA (1995, 1999, 2001 dan 2003), tiga edisi Sukan Asia (1998, 2002 dan 2006) serta dua edisi Sukan Dunia (2001 dan 2005).
Sumbangan beliau tidak terhenti dalam sukan snuker sahaja. Mendiang juga pernah menjawat jawatan di MOM sebagai Naib Presiden selama lima penggal berturut-turut dari 18 November 2000 hingga 18 Jun 2011.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Chef de Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Jakarta pada 1997 dan Chef de Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel XVII Manchester pada 2002.
Namanya juga telah terpahat dalam Dewan Kemasyhuran MOM pada 2011 atas jasanya dalam bidang sukan.
Pemergian beliau pastinya satu kehilangan besar buat arena sukan tempatan terutamanya snuker dan biliard.