Malaysia masih ketinggalan dari segi asas bola sepak, decision making – Adam Hamid

11,728

Pemain muda negara yang pernah bermain di Bosnia, Adam Hamid berpendapat bahawa terdapat beberapa perkara asas yang masih perlu diperbaiki bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak Malaysia.

Adam yang sebelum ini bermain bersama kelab NK Zvijezda Gradacac melihat bola sepak tempatan sedang berada di landasan yang baik dan kualitinya semakin meningkat masa ke masa.


“Jika dilihat dalam skuad kebangsaan ketika ini, mereka melakukan tugas yang baik dari segi pressing dan semangat juang yang tinggi.

Namun dari segi teras asas bola sepak masih ada sesuatu yang hilang, tetapi dengan passion semuanya boleh dibina,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui kagum dengan keghairahan yang ditunjukkan para pemain kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Sementara itu di peringkat kelab pula, Adam berkata bahawa pemain di Liga Malaysia masih lagi ketinggalan dari segi membuat keputusan dengan pantas.

“Sebagai pemain anda harus tahu apa langkah seterusnya sebelum bola datang kepada anda lagi dan saya rasa itu masih boleh diperbaiki di Malaysia tetapi ia sedang berada di landasan yang betul.

Banyak peningkatan yang sedang berlaku dalam bola sepak tempatan sekarang berbanding sebelum ini.”

Menurutnya, pasukan seperti Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan Sabah FC kini sedang membawa inovasi dalam bola sepak tempatan dan kelab-kelab lain juga sedang cuba melakukan perkara sama.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan kariernya, Adam berkata beliau kini sedang mencari kelab baru selepas kontraknya bersama NK Zvijezda Gradacac tamat.

Beliau menyertai NK Zvijezda Gradacac pada pertengahan tahun lalu dengan kontrak semusim.