Terbuka Malaysia 2022: Titik kebangkitan atau petanda perpecahan buat Aaron-Wooi Yik?
Kegagalan demi kegagalan yang dihadapi oleh pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terus menimbulkan persoalan tentang masa depan gandingan tersebut.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini terkandas mengejut di pusingan separuh akhir Terbuka Indonesia baru-baru ini.
Lebih menyedihkan, beregu No. 6 Dunia ini tewas di tangan pasangan di ranking ke- 45 dunia, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi dari China.
Keputusan itu nyata mengecewakan seluruh peminat badminton negara kerana perbezaan ranking yang besar di antara kedua-dua pasangan ini.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky yang sebelum ini pernah mengkritik prestasi Wooi Yik secara tiba-tiba turut menyatakan kekecewaan beliau terhadap prestasi semasa Aaron yang dilihat semakin merudum.
Beliau berasa terkejut dengan apa yang dipamerkan oleh pemain tersebut yang gagal mengikut rentak yang ditunjukkan oleh pasangannya.
Rexy tampak hampa selepas peluang demi peluang yang diberikan kepada beregu ini dipersia-siakan oleh kesilapan mudah yang sering menjadi punca utama kekalahan mereka di setiap perlawanan-perlawanan penting.
Kenyataan Rexy mencetuskan persoalan tentang kemungkinan besar untuk berlakunya pertukaran pasangan bagi gandingan ini di kejohanan yang akan datang.
Sebelum ini, wujud khabar angin mengatakan bahawa sebuah rombakan besar akan dilakukan untuk menukar sebilangan pasangan beregu negara berdasarkan prestasi mengecewakan di dalam beberapa siri kejohanan.
Pada masa yang sama, kata-kata yang diberikan oleh Rexy ini boleh juga dijadikan sebagai motivasi kepada pasangan beregu ini untuk kembali mencapai kemenangan di kejohanan seterusnya.
Para peminat meletakkan harapan yang tinggi agar pentas Terbuka Malaysia akan menjadi titik kebangkitan bagi kedua-dua pemain ini selaku harapan utama negara dalam acara beregu lelaki.
Sesuatu perlu dilakukan sekiranya mereka terus gagal mempamerkan aksi bertenaga seperti yang dipamerkan sewaktu mengalahkan dua pasangan utama dunia dari Indonesia: Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon (suku akhir) dan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (perlawanan tempat ke 3-4) di temasya Sukan Olimpik Tokyo sebelum ini.
Mungkin rombakan pasangan adalah solusi terbaik untuk mencapai semula zaman kegemilangan pasukan negara di dalam acara beregu lelaki.
Pertukaran pasangan mampu menjadi perkara yang baik untuk membina semula gandingan pemain yang mampu memberi saingan yang hebat.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik tahun ini adalah mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia sebelum tewas kepada beregu No.14 Dunia, Yeremia Rambitan dan Pramudya Kusumawardana dari Indonesia.
Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai saingan Terbuka Malaysia pada 28 Jun ini menentang pasangan dari Jepun, Taichi Sato dan Akira Koga.