Persaingan sengit antara Malaysia, Indonesia akan terus berlaku pada pertemuan KL City dan PSM Makassar – Bernardo Tavares
Kehangatan perseteruan antara Malaysia dan Indonesia akan terus dirasai pada pertemuan Kuala Lumpur City FC dan PSM Makassar di perlawanan pembukaan Kumpulan H Piala AFC 2022, Jumaat ini.
Ini diakui oleh ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares yang sudah bersedia berhadapan dengan tekanan yang akan diberikan oleh penyokong tempatan.
“Ya saya setuju dan ini akan menjadi cabaran yang besar kerana kami ingin mempamerkan persembahan yang terbaik.
Kami perlu berani untuk berhadapan tekanan dan kami pernah melakukan perkara ini semasa perlawanan menentang Arema FC dan siapa tahu kami mampu membuat kejutan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tavares juga berharap agar penyokong Indonesia yang berada di Malaysia akan turun membanjiri stadium pada pertemuan pertama menentang tuan rumah.
“Kehadiran penyokong Indonesia pada perlawanan ini sangat penting untuk menambahkan semangat pemain muda kami.”
Pengendali dari Portugal ini baru dilantik menjadi pengendali pasukan itu pada April yang lepas.
PSM Makassar telah membawa masuk ramai muka baru yang mana kebanyakan pemain tersebut adalah dari Liga 2 Indonesia dan skuad belia.
Pada masa yang sama, PSM Makassar juga bersaing di Piala Presiden sebagai persiapan sebelum liga bermula.
Saingan Piala Presiden ini mampu menjadi senjata rahsia pasukan itu menjelang perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala AFC 2022.
“Piala Presiden bagus untuk kita lihat sama ada pemain kita mampu mengawal permainan atau tidak semasa tertekan.
Sudah semestinya, kita memerlukan permainan tetapi pertandingan dan perlawanan persahabatan merupakan sesuatu perkara yang berbeza.”
Pada musim lalu PSM Makassar menamatkan saingan Liga 1 Indonesia di tangga ke-14.