Saya harap generasi selepas ini dapat rasa padang seperti di JDT – Akram Mahinan
Pemain tengah KL City FC, Akram Mahinan berharap pasukan-pasukan di negara ini berusaha meningkatkan kualiti padang stadium masing-masing menjadi seperti padang di stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim.
Menurut Akram, padang yang berkualiti mampu meningkatkan tahap permainan pemain sekaligus memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.
“Saya harap adik-adik selepas ini dapat rasa padang seperti di Johor, biarlah keluar duit sikit asalkan pemain terjaga.
Ini dapat meningkatkan kualiti pemain bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa, jadi kualiti liga kita dan skuad kebangsaan pun akan bertambah baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya tiada lagi masalah padang seperti yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain sebelum ini.
Dalam pada itu beliau mengakui kejohanan Piala AFC mampu menjadi pentas buatnya untuk mempamerkan aksi mantap bagi menarik perhatian perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
“Kejohanan ini memang baik buat semua pemain tonjolkan kemampuan mereka kerana kita akan bersaing dengan pasukan-pasukan dari luar negara.
Dalam Liga Super pun saya masih lagi cuba tingkatkan tahap permainan saya, kalau ada rezeki, (panggilan skuad kebangsaan) adalah.”
KL City diundi dalam Kumpulan H bersama kelab Indonesia, PSM Makassar dan wakil Singapura, Tampines Rovers.
The City Boys akan membuka tirai kempen Piala AFC 2022 menentang PSM Makassar pada pukul 8.00 malam Jumaat ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.