Kevin Mendoza mahu lupakan kegagalan layak ke Piala Asia 2023, tekad tunjukkan kekuatan KL City FC di pentas Piala AFC 2022
Penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza mahu melupakan kekecewaan gagal layak ke Piala Asia 2023 bersama Filipina tempoh hari dan mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada Piala AFC 2022 yang akan bermula Jumaat ini.
Mendoza berkata ini adalah masanya buatnya dan rakan-rakan sepasukan menunjukkan kehebatan KL City di pentas Asia.
“Sudah tentu saya rasa kecewa kerana kami semua berhak dapat lebih, dan pasukan Filipina ketika itu juga berada di posisi terbaik untuk mara.
Tetapi bagi saya, saya mahu melihat ke hadapan dan sudah tidak sabar untuk mengharungi saingan Piala AFC 2022 bersama KL City,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurutnya persiapan KL City setakat ini berada dalam keadaan baik dan berharap mampu menterjemahkannya di atas padang ketika perlawanan sebenar nanti.
Beliau turut menyeru penyokong KL City supaya hadir memeriahkan stadium bagi memberi semangat kepada pasukan.
“Ini adalah pentas yang besar buat kami jadi kami harap penyokong dapat hadir beramai-ramai ke stadium menyokong kami.”
KL City akan bertemu kelab Indonesia, PSM Makassar pada perlawanan pembukaan Kumpulan H pada Jumaat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.