Pestabola Merdeka medan terbaik buat Harimau Malaya bersiap sedia untuk Piala Asia 2023
Cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan kembali Pestabola Merdeka pastinya akan disambut baik oleh penyokong bola sepak tanah air selepas kali terakhir kejohanan itu dianjurkan pada tahun 2013.
Kejohanan yang satu ketika dahulu dianjurkan setiap tahun itu pernah menjadi medan buat pasukan kebangsaan beradu tenaga dengan pasukan-pasukan hebat.
Malah pasukan-pasukan luar negara terutama dari Asia juga tidak mahu terlepas daripada menyertai kejohanan kerana reputasinya yang tinggi.
Ini pastinya memberi satu nostalgia buat peminat bola sepak tempatan bagi menyaksikan kejohanan yang pertama kali dianjurkan sempena hari kemerdekaan negara itu.
Cadangan ini adalah satu inisiatif yang positif dari pihak FAM kerana kerana ia mempunyai sejarah tersendiri termasuk merupakan kejohanan bola sepak tertua di Asia, jadi amat sayang jika kejohanan itu terkubur.
Memandangkan Malaysia telah layak ke Piala Asia 2023, kejohanan itu dilihat amat sesuai dijadikan sebagai medan persiapan buat anak buah Kim Pan-gon meningkatkan tahap permainan.
Ia juga satu langkah yang bagus untuk meneruskan hype kepada skuad kebangsaan selepas berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Jika FAM serius untuk menganjurkannya, ia haruslah diadakan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) supaya berpotensi untuk mendapatkan mata yang banyak dalam ranking dunia.
Bagi pasukan jemputan, FAM harus menjemput pasukan-pasukan yang berada di ranking jauh lebih tinggi daripada Malaysia, sebaik-baiknya yang berada di ranking top-100.
Format lapan pasukan dengan wakil daripada setiap benua dijemput juga boleh dipertimbangkan untuk membiasakan pasukan negara bermain dengan lawan yang mempunyai corak permainan berbeza.
Selain itu, penganjuran perlawanan persahabatan dalam format kejohanan ini juga dapat membantu dari segi persediaan mental buat para pemain untuk menghadapi perlawanan kompetitif.
Diharapkan kejohanan ini akan menjadi kenyataan supaya dapat menghidupkan kembali aura pertandingan ini dan memberi persediaan yang baik buat pasukan negara untuk menghadapi Piala Asia 2023.