Bekas pemain badminton Malaysia lebih mendapat perhatian negara luar
Bekas pemain badminton negara dipilih sebagai jurulatih oleh negara luar bukan sesuatu perkara baru lagi.
Antara pemain negara yang menjadi jurulatih di luar negara adalah Tan Kim Her, Jeremy Gan, Lee Wah Wah (Jepun), Wong Tat Meng, Choong Tan Fook (Hong Kong), Yap Kim Hock (Singapura), Iskandar Zulkarnain (Ireland) dan Rosman Razak (Filipina).
An Se-young, pemain berbakat wanita Korea Selatan yang kini berada di ranking ke-tiga dunia pernah dilatih oleh Tat Meng yang merupakan bekas pemain perseorangan lelaki utama negara.
Tat Meng juga berjaya membawa kejayaan kepada pasukan wanita Korea Selatan menjuarai Piala Uber 2022 baru-baru ini sebelum meletak jawatan.
Desas-desus menyatakan kemungkinan beliau akan kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi sebaliknya berlaku.
Selain Tat Meng, seorang lagi bekas pemain kebangsaan yang menjadi jurulatih Hong Kong adalah Tan Fok.
Sentuhan Tan Fook membuahkan hasil apabila beregu campuran yang dilatihnya, Tang Chun Man-Tse Ying Suet berjaya memenangi beberapa kejuaraan utama dan kini menduduki tangga ke-7 dunia.
Persoalannya di sini, kenapa BAM tidak mengunakan khidmat mereka ini sebagai jurulatih kepada skuad utama atau pelapis negara?
Kenapa BAM seakan-akan tidak nampak kejayaan yang dicipta jurulatih ini di luar negara?
Seolah-olah bakat mereka lebih mendapat kepercayaan dan dihargai negara luar berbanding negara sendiri.
Dalam keadaan kita ketandusan pemain berbakat yang bertaraf dunia terutama pemain perseorangan lelaki, kenapa tidak memanggil jurulatih seperti Tat Meng dan Tan Fok kembali melatih pasukan negara?
Mengapa lebih memilih untuk mengambil jurulatih luar negara sedangkan bekas-bekas pemain kita sendiri begitu gah nama mereka dipersada dunia selaku jurulatih pemain bertaraf dunia?
Adakah kita sudah cukup merasa bangga apabila hanya seorang sahaja pemain negara yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia?
Semalam peminat badminton negara telah dikejutkan dengan pengumuman jaguh badminton negara, Lee Zii Jia menarik diri dari menyertai Sukan Komanwel 2022 yang akan berlangsung pada Julai nanti.
Ia pasti akan menjejaskan persiapan skuad negara kerana Zii Jia adalah harapan buat Malaysia untuk meraih satu daripada dua sasaran pingat emas di Sukan Komanwel.
Jika India berjaya melakar kejutan merangkul Piala Thomas baru-baru ini, tidak mustahil satu hari nanti negara yang sebelum ini sering menjadi ‘lauk’ Malaysia bakal menjadi kuasa besar badminton dunia.
Mungkin mereka sudah lama merancang, tapi kita yang lalai saja?