Layak digelar projek ‘Gajah Putih’, keadaan Stadium Shah Alam semakin teruk dan memalukan

17,852

Baru-baru ini, pasukan dari Liga 1 Indonesia, PSM Makassar telah menjalani latihan di Stadium Mini Shah Alam menjelang aksi pertama Piala AFC 2022 menentang KL City FC.

Stadium mini ini merupakan salah satu fasiliti yang berada di bawah Stadium Shah Alam (SSA).


Keadaan padang dan fasiliti yang teruk di lokasi berkenaan mendapat perhatian daripada peminat bola sepak negara yang menyuarakan kekecewaan dengan keadaan ini.

Lebih memalukan, perkara ini berlaku di kejohanan Piala AFC yang merupakan antara pertandingan utama di rantau Asia.

Situasi ini menjejaskan reputasi negara sebagai tuan rumah kejohanan dan memberi tanggapan yang buruk kepada negara lain.

Seperti yang semua sedia maklum, SSA dan kawasan perkarangannya telah lama dibiarkan dan sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang kerja penambahbaikan yang dilakukan.

Fasiliti di sekitar stadium termasuk stadium mini dan beberapa kawasan lain turut dibiarkan begitu sahaja tanpa penyelenggaraan sewajarnya.

Nasib gelanggang keramat pasukan Selangor FC itu terus menjadi persoalan yang sehingga kini tiada jawapan mengenai nasib stadium yang pernah menjadi home buat pasukan itu.

Kerosakan demi kerosakan yang berlaku menjadikan gelanggang keramat skuad Gergasi Merah tersebut tidak lagi selamat untuk digunakan.

Situasi ini sangat menyedihkan tatkala stadium tersebut menyimpan 1001 kenangan bola sepak negara.

Pada tahun 1994, Kejohanan Jemputan Mitsubishi Shah Alam telah diadakan bersempena perasmian SSA dan telah disertai oleh beberapa pasukan ternama dunia seperti Bayern Munich FC dan Flamengo FC.

Antara nama besar yang beraksi pada kejohanan tersebut adalah legenda Perancis, Jean-Pierre Papin yang beraksi untuk pasukan Bayern Munich.

Legenda Selangor, Allayarham Anuar Abu Bakar menjadi pemain tempatan pertama yang menjaringkan gol di stadium keramat tersebut pada perlawanan pembukaan menentang pasukan Dundee United FC dari Scotland.

Stadium ini turut menyajikan aksi hebat daripada legenda bola sepak negara yang lain seperti Shahril Arsat dan Azman Adnan semasa bersama skuad Selangor serta pasukan kebangsaan.

Ditambah dengan kehadiran pemain dari luar negara seperti bekas pemain Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy yang pernah mewarnai Liga Malaysia suatu ketika dahulu.

Kemampuan menampung seramai 80,372 orang dalam satu masa menjadikan SSA sebagai stadium kedua terbesar di Malaysia selepas Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada masa yang sama, stadium ini turut dijadikan sebagai salah satu gelanggang utama pasukan kebangsaan dalam beberapa kejohanan besar termasuk penganjuran kejohanan berprestij seperti Piala Asia pada tahun 2007.

Namun sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang penjelasan yang tepat tentang siapa yang bertanggungjawab ke atas projek baik pulih stadium tersebut.

Pihak berkenaan perlu berhenti menunding jari dan segera mengambil tindakan terhadap projek yang sepatutnya bermula pada awal tahun ini.

Sebelum ini, SSA pernah ditutup lebih sembilan bulan sekitar tahun 2013-2014 untuk memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan yang menelan kos lebih kurang RM140 juta.

Tetapi penambahbaikan tersebut gagal bertahan lama dan kerosakan di sekitar stadium menjadi lebih kritikal pada tahun 2020.

Perkara ini turut membebankan pasukan Selangor yang terpaksa berpindah dari satu stadium ke satu stadium yang lain untuk dijadikan sebagai gelanggang rasmi pasukan.

Sebelum ini, mereka pernah bermain di Stadium Mini UiTM sebelum memilih untuk berkongsi dengan pasukan Petaling Jaya City FC dengan menjadikan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selaku gelanggang utama.

Perkara itu tidak langsung membalut luka di hati penyokong pasukan Selangor yang terus meletakkan harapan untuk melihat pasukan kesayangan mereka kembali beraksi di gelanggang keramat.

Ramai peminat pasti merindui suasana dan kemeriahan yang disajikan oleh SSA setiap kali perlawanan berlangsung.

Diharap agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi ‘menghidupkan’ semula stadium kebanggaan negara itu seperti sedia kala.