Kalau kami dapat rehat enam hari macam KL City FC, keputusan malam ini pasti lebih baik – Ketua jurulatih PSM Makassar

682

Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares menyalahkan perubahan jadual pasukannya sebagai punca anak buahnya tidak dapat menampilkan aksi yang lebih baik ketika menentang KL City FC pada perlawanan Piala AFC 2022 malam tadi.

Perlawanan tersebut berkesudahan 0-0 selepas dengan beberapa peluang keemasan gagal disudahkan oleh kedua-dua pasukan.


Menurut Tavares, sekiranya pasukannya mendapat rehat selama enam hari seperti KL City, beliau yakin anak buahnya dapat mencatatkan keputusan yang baik malam ini.

“Kami mempunyai manusia di atas padang bukannya robot, para pemain saya penat kerana tidak mempunyai rehat yang cukup.

Saya bukan nak beri alasan kerana ini adalah perkara di luar padang tetapi saya dan para pemain kecewa, sekurang-kurangnya berilah kami alasan yang kukuh mengapa mereka mengubah jadual,”

katanya.

Tavares berkata pemainnya bermain dengan lebih baik pada perlawanan itu dan mengawal permainan walaupun tidak berjaya menjaringkan gol.

Beliau turut berbangga kerana barisan pemain mudanya berjaya memberi saingan hebat kepada pasukan yang kuat seperti KL City.

“Jika anda lihat hari ini ada dua pemain akademi di atas padang dan itu adalah satu perkara yang membanggakan buat penyokong kelab ini.

Sebulan yang lalu mereka tidak terfikir langsung bahawa mereka akan bermain di pentas Piala AFC.”

Dalam pada itu beliau masih belum mengangkat bendera putih dan percaya PSM Makassar masih mempunyai peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Katanya beliau akan fokus kepada tempoh pemulihan pemain sebelum membuat keputusan mengenai perlawanan seterusnya menentang Tampines Rovers.