Kami ada cara tersendiri untuk menang – Ketua Jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee
Ketua jurulatih Tampines Rovers FC, Gavin Lee sudah menyiapkan anak buahnya untuk berhadapan dengan sebarang taktikal yang akan digunakan oleh pihak lawan.
“Saya melihat kedua-dua pasukan (KL City FC & PSM Makassar) menggunakan lima pemain pertahanan dan kami ada pendekatan sendiri untuk berhadapan dengan pasukan seperti ini.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Gavin ingin menggunakan tempoh persediaan panjang yang dimiliki oleh pasukannya dengan sebaiknya sebelum berhadapan dengan pasukan PSM Makassar.
Selepas menyaksikan perlawanan pertama di antara PSM Makassar dan Kuala Lumpur City FC semalam, Gavin percaya beliau mempunyai waktu yang cukup untuk meningkatkan lagi persediaan anak buahnya.
“Keputusan perlawanan semalam adalah seperti yang dijangka sebelum ini, jadi ia memberi peluang kepada kami untuk mencari rentak selepas kami dapat menyaksikan taktikal dan pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua pasukan.”
Pengendali berusia 31 tahun ini ingin pasukannya tetap berhati-hati dan jangan berasa terlalu selesa meskipun kelebihan tampak berada di sebelah pasukan Tampines Rovers selaku pasukan pilihan.
“Saya faham yang jaringan merupakan perkara yang utama, namun kemampuan kedua-dua pasukan untuk melakukan serangan merbahaya akan menjadi ancaman utama untuk kami.
Kami mempunyai barisan pemain mantap dan buat masa ini kami hanya ingin memberikan tumpuan kepada perlawanan pertama menentang PSM Makassar.”
Gavin percaya taktikal yang telah diterapkan selama ini akan menjadi kunci utama pasukan dari Singapura itu untuk merealisasikan impian mereka untuk mendominasi kumpulan dan layak ke pusingan seterusnya.
“Kami sering melangkah ke perlawanan dengan rutin yang sama, kami tidak akan melakukan perubahan yang besar atau istimewa dan kami hanya akan memberi fokus sepenuhnya untuk memantapkan pendekatan yang dilakukan oleh pasukan selama ini.”
Tampines Rovers kini berada di tangga ke-4 Liga Singapura selepas berjaya memenangi lima dari 11 perlawanan musim ini.