Walaupun main di Liga Super, Azhad Harraz tetap kerja keras untuk terpilih ke Piala AFF B-19

1,622

Pemain penyerang Sabah FC, Azhad Harraz berkata walaupun beliau bermain dengan pasukan di Liga Super, namun beliau akan tetap bekerja keras untuk memastikan dirinya terpilih dalam 23 pemain akhir yang akan beraksi di Piala AFF B-19.

“Memang teruja dapat bermain di salah sebuah pasukan besar di Liga Super, tetapi saya tidak boleh lalai dan sambil lewa kerana pemain-pemain lain yang terpilih juga kebanyakannya bermain di Liga Perdana.

Permainan mereka juga matang, jadi saya perlu berjuang untuk dapatkan tempat dalam pasukan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Harraz mengakui dirinya kekurangan minit permainan berikutan terpaksa bersaing dengan pemain bintang di Sabah, tetapi beliau tegaskan dirinya sudah bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya.


Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun ini juga mengakui terdapat perbezaan dari corak permainan diantara pasukannya di Sabah dan skuad negara.

“Di Sabah corak permainan yang diterapkan agak perlahan tetapi setiap pemain sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan akan cuba mengawal tempo perlawanan.”

Untuk saingan Piala AFF B-19 yang akan berlangsung di Indonesia pada awal Julai nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B yang mana skuad Harimau Muda akan menentang Laos, Timor-Leste, Komboja dan Singapura.

Berdasarkan undian kumpulan, Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat seterusnya, Harraz bagaimanapun enggan mendabik dada sebaliknya berkata mereka tidak boleh memandang rendah pada mana-mana pasukan.

“Ia beri tekanan juga kepada kami apabila jadi pasukan pilihan kerana bagi saya setiap pasukan mempunyai kekuatan masing-masing, oleh itu kita perlu bagi aksi terbaik dalam setiap perlawanan.”