Coach akan pening nak pilih 23 pemain ke Piala AFF B-19 – Abdul Rahman

2,051

Penyerang muda Abdul Rahman menjangkakan ketua jurulatih skuad kebangsaan B-19, Hassan Sazali akan berdepan kesukaran untuk memilih 23 daripada 26 pemain yang akan dibawa ke Indonesia untuk saingan Piala AFF B-19 di Indonesia awal bulan depan.

Menurut Rahman, mereka kini berada di fasa kedua persiapan dengan kesemua 26 pemain sudah mendapat keserasian sebagai satu pasukan.


“Ini adalah fasa kedua selepas fasa pertama yang mana kita sudah bermain tiga perlawanan persahabatan. Dari segi keserasian atau bonding kami tidak mempunyai masalah kerana kebanyakan pemain skuad ini dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), jadi keserasian itu sudah lama ada.

Dengan tambahan pemain baru pun kami tiada masalah dan cepat dapat keserasian, jadi saya rasa coach akan berdepan akan pening nak pilih 23 pemain nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Rahman yang merupakan produk AMD sebelum ini telah disambar oleh Selangor FC II dan kemudian beliau mendapat kepercayaan ketua jurulatih skuad utama, Michael Feichenbeiner dalam perlawanan pembukaan saingan Liga Super ketika menentang KL City FC.

Dalam pada itu, Rahman berkata pengalaman beraksi di Liga Super akan digunakan sebaik-baiknya untuk membantu pasukan ini memperoleh kejayaan di Piala AFF B-19 nanti.

Bercerita lanjut mengenai latihan di bawah kendalian Hassan Sazali, penjaring terbanyak Kejohanan Pra U Cup 2021 ini mengakui jurulatih itu sudah tahu dengan kemampuan setiap pemainnya.

“Coach Hassan dah nampak kelebihan kami yang ada sebagai individu, jadi dalam taktikal yang direncanakannya beliau akan masukkan kelebihan individu untuk menjadikan skuad lebih ampuh.”

Sementara itu, Rahman berkata selepas kejayaan besar skuad senior berjaya layak ke Piala Asia 2023 baru-baru ini, beliau merasakan ini adalah masa yang tepat untuknya dan rakan sepasukan membuktikan kepada penyokong bola sepak tanah air yang skuad Harimau Muda juga mampu memperoleh kejayaan seperti yang diharapkan.

Skuad B-19 telah diundi dalam Kumpulan B yang mana mereka akan menentang Laos, Timor-Leste, Kemboja dan Singapura.

Selepas saingan Piala AFF B-19, mereka juga akan menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Mongolia, September depan yang mana mereka telah diundi dalam Kumpulan E bersama Republik Korea, Mongolia dan Sri Lanka.