Tampines Rovers pasukan pilihan esok, KL City pasukan pilihan untuk layak – Ketua Jurulatih PSM Makassar
Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares merasakan bahawa lawan seterusnya pada saingan Kumpulan H Piala AFC, Tampines Roves merupakan pasukan pilihan berbanding pasukannya.
Menurutnya ia berdasarkan keadaan para pemain The Stags yang lebih segar berbanding anak buahnya yang masih keletihan selepas menentang KL City FC dan pengalaman pertama mereka di pentas Asia.
“Mereka adalah pasukan yang lebih segar ketika ini dan sudah tentu mempunyai stamina yang lebih baik, dan mereka juga mempunyai lebih banyak pengalaman beraksi di pentas Asia.
Tetapi saya tahu anak buah saya sukakan cabaran dan esok adalah cabaran yang baik untuk mereka menunjukkan kebolehan masing-masing,”
katanya
Walaubagaimanapun beliau berkata sekiranya penyokong PSM Makassar dapat turun ke stadium untuk memberi sokongan, beliau yakin para pemain mampu beraksi lebih daripada 100 peratus.
Dalam pada itu beliau berkata tuan rumah, KL City merupakan pasukan pilihan untuk layak ke peringkat seterusnya kerana mempunyai masa rehat yang paling panjang.
Tambah Tavares beliau masih belum membuat keputusan mengenai barisan pemain yang akan turun esok dan akan melihat keadaan semua pemain terlebih dahulu.
“Jika ada pemain yang masih tidak cergas 100 peratus, saya yakin ada pemain lain yang mampu menggalas tugas untuk esok dan saya lihat semua pemain simpanan tidak sabar untuk tunjukkan kebolehan sekiranya diberi peluang.”
Sementara itu, kapten pasukan Willem Jan Pluim berkata para pemain ketika ini mempunyai motivasi yang tinggi untuk turun menentang Tampines Rovers esok.
Menurutnya, mereka akan melakukan segala-galanya untuk layak kerana peluang untuk ke pentas Asia tidak sentiasa datang buat kelab PSM Makassar.
“Saya rasa saya tak perlu bagi motivasi tambahan buat rakan-rakan kerana mereka sudah mempunyai motivasi yang tinggi untuk perlawanan esok.
Walaupun kami mempunyai jadual yang padat minggu ini tetapi saya lihat para pemain semua bersemangat.”
PSM Makassar kini mengumpul satu mata selepas seri 0-0 menentang KL City pada perlawanan pertama Kumpulan H Jumaat lalu.
Mereka akan turun menentang Tampines Rovers pada perlawanan seterusnya pada pukul 8.00 malam esok (27 Jun) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.