Sukan dan ‘ulat tiket’, Terbuka Malaysia 2022 jadi mangsa seterusnya

228

Saingan Terbuka Malaysia 2022 menerima sambutan yang cukup hangat dari peminat badminton negara berdasarkan situasi penjualan tiket yang cukup memberangsangkan.

Penjualan tiket ibarat ‘pisang goreng panas’ membuktikan bahawa kesemua peminat badminton di Malaysia dahaga untuk melihat aksi -aksi pemain badminton kesayangan mereka secara dekat.


Kali terakhir Terbuka Malaysia diadakan adalah pada tahun 2019 sebelum dibatalkan pada tahun 2020 dan 2021 ekoran daripada penularan COVID-19.

Namun, keadaan ini telah dicemari oleh wujudnya satu platform penjualan tiket yang secara tiba-tiba menawarkan beberapa tiket ‘istimewa’.

Perkara ini menimbulkan tanda tanya kepada ramai pihak kerana sebelum ini pihak penganjur telah mengumumkan bahawa kesemua tiket telah habis dijual.

Lebih parah, harga yang dijual di platform tersebut lebih tinggi daripada harga sebenar penjualan tiket yang telah dilakukan sebelum ini.

Mereka mengenakan kenaikan sebanyak 30-40% bagi setiap tiket yang melibatkan perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Sebelum ini perlawanaan bola sepak menjadi salah satu acara utama yang sering berhadapan dengan masalah ‘ulat tiket’.  

Perkara ini semakin lama menjadi wabak yang terus mencemarkan industri sukan tanah air.

Pihak bertanggungjawab perlu segera memantau perkara ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada terjadi.

Peminat yang membeli di platform tidak rasmi seperti ini akan berhadapan dengan pelbagai risiko menjadi mangsa kepada jenayah dalam talian seperti ‘scam’ dan kecurian data peribadi yang telah menjadi jenayah komersil utama di Malaysia.

Jika platform penjualan ini menjual tiket yang sah, bagaimana pihak berkenaan boleh mendapatkan stok tiket sedangkan pihak penganjur telah menutup tempoh penjualan sebelum ini?

Ini sedikit sebanyak menunjukkan wujudnya pakatan yang melakukan tindakan tidak bermoral seperti ini semata-mata untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Tindakan segera perlu dilakukan untuk mengenalpasti ‘orang dalam’ yang terlibat, menutup mata dan membiarkan sindiket ‘ulat tiket’ sebegini terus berleluasa.

Perkara ini perlu segera diperhalusi oleh kesemua badan bertanggungjawab agar tidak mengganggu kemeriahan kejohanan Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai pada esok hari.

Perseteruan antara pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zi Jia dan pemain No. 1 Dunia, Viktor Axelsen dari Denmark akan menjadi tumpuan utama peminat di kejohanan ini.

Selain daripada itu, kehadiran bintang-bintang utama dunia seperti pemain perseorangan Jepun, Kento Momota dan seorang lagi pemain perseorangan dari Indonesia, Anthony Ginting turut menghangatkan lagi suasana.