Satu kerugian buat Malaysia apabila Cardiff City tak berjaya bawa masuk Gareth Bale

192

Baru-baru ini penyokong Cardiff City dan penyokong bola sepak Malaysia apabila khabar angin yang mengatakan bekas bintang Real Madrid akan menyertai kelab yang bersaing di EFL Championship tidak menjadi kenyataan.

Terdahulu Bale dilaporkan akan menyertai kelab di tempat kelahirannya selepas kontraknya selama sembilan tahun di Madrid telah tamat.


Bagaimanapun, kapten skuad kebangsaan Wales itu telah mengesahkan bahawa beliau akan berhijrah ke Major League Soccer (MLS) dengan menyertai kelab Los Angeles FC.

Khabar ini bukan sahaja mengecewakan penyokong Cardiff City, tetapi juga satu kerugian buat Malaysia kerana umum mengetahui pemilik kelab tersebut adalah milik ahli perniagaan Malaysia iaitu Tan Sri Vincent Tan.

Jika Bale menyarung jersi Cardiff City, sudah pasti ia akan memberi publisiti percuma buat Malaysia dan tidak mustahil satu perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Malaya boleh diaturkan.

Keputusan untuk tidak bersama Cardiff City berkemungkinan dipengaruhi oleh gaji lumayan yang ditawarkan oleh kelab yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu.

Ia bukanlah sesuatu yang baru kerana umum mengetahui bahawa kelab-kelab dari MLS sering menandatangani bekas pemain bintang untuk beraksi bersama kelab mereka.

Antara pemain bintang yang pernah ditandatangani kelab dari MLS termasuk David Beckham, Zlatan Ibrahimovic, Wayne Rooney, Thierry Henry, Kaka, Andrea Pirlo dan ramai lagi.

Kemasukan pemain-pemain bintang ini telah berjaya menaikkan MLS di mata peminat bola sepak di seluruh dunia yang sebelum ini tidak pernah ambil tahu mengenai perkembangan bola sepak di Amerika Syarikat.

Penyerang berusia 32 tahun yang pernah menjadi pemain termahal di dunia ini menyertai Los Angeles selepas bekas pemain Juventus, Giorgio Chiellini menyertai kelab itu awal bulan lalu.

Bale dilaporkan akan menandatangani kontrak selama semusim dengan pilihan untuk lanjutan setahun lagi.

Sehingga kini, Bale telah menjaringkan 139 gol sepanjang kariernya dalam saingan liga dan telah menjaringkan 39 gol dalam 106 penampilan bersama skuad kebangsaan Wales.