Omar Raiyan mahu bawa bola sepak Malaysia ke Eropah
Pemain muda negara Omar Raiyan meluahkan keterujaannya apabila beliau dipanggil untuk menyertai kem latihan berpusat pasukan kebangsaan B-19 untuk persiapan menghadapi saingan Piala AFF B-19 bulan depan.
Menurut Omar, beliau sebenarnya sudah berada di Malaysia sejak 12 Jun lalu yang mana beliau telah menjalani latihan awal bersama Skuad Projek FAM-MSN bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.
“Sejak saya sampai di sini saya telah menjalani latihan dengan coach Hassan Sazali bersama Skuad Projek FAM-MSN sebelum dipanggil untuk kem negara, dan semuanya berjalan dengan lancar selepas lebih seminggu menjalani latihan bersama rakan sepasukan.
Tiada perbezaan ketara dari segi taktikal kerana coach Hassan turut menerapkan taktikal yang sama seperti saya bermain di kelab saya iaitu corak permainan berintensiti tinggi, jadi amat mudah untuk saya dan rakan sepasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ditanya samada beliau yakin akan mendapat tempat dalam senarai 23 pemain akhir nanti, pemain berusia 17 tahun ini menyuarakan keyakinannya tetapi semuanya bergantung kepada keputusan daripada ketua jurulatih.
“InsyaAllah, tetapi ia terletak di tangan coach untuk memilih, namun sudah pasti saya nak menyarung jersi Harimau Malaya dengan bangga dan mahu bawa bola sepak Malaysia ke Eropah.”
Dalam pada itu, Omar turut menyuarakan keyakinannya terhadap kesemua pemain yang terpilih ke kem latihan berpusat kerana setiap pemain mempunyai kualiti dan mampu beri saingan sengit pada mana-mana pasukan.
Omar yang dilahirkan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memulakan karier remajanya bersama Manchester City sebelum berpindah ke kelab gergasi di Serbia iaitu Red Star Belgrade.
Ketika ini beliau terpaksa bermain bersama skuad B-19 kerana beliau masih belum layak untuk bermain perlawanan rasmi kerana Artikel 19 FIFA (Persekutuan Bola Sepak Dunia) mengenai Perlindungan Anak Bawah Umur yang menetapkan perpindahan antarabangsan hanya dibenarkan jika pemain itu berusia lebih 18 tahun.
Omar memaklumkan beliau akan menandatangani kontrak bersama Red Star Belgrade pada Oktober depan selepas berusia 18 tahun.
Skuad B-19 kendalian Hassan Sazali akan mengadakan satu perlawanan persahabatan tertutup menentang UiTM FC sebelum 23 pemain dipilih untuk dibawa ke saingan Piala AFF B-19 yang akan berlangsung di Indonesia pada awal Julai ini.