Rizky Pratama gembira strategi serangan bertali arus beri kemenangan ke atas Tampines Rovers

324

Ketua jurulatih, Bernardo Tavares telah melakukan beberapa pertukaran besar pada perlawanan terakhir Kumpulan H di saingan Piala AFC 2022 menentang Tampines Rovers FC.

Antara perubahan yang dilakukan adalah memasukkan bintang muda, Rizky Pratama untuk menajamkan bahagian serangan.


PSM Makassar dilihat memanfaatkan insiden kad merah yang dilayangkan kepada pemain pertahanan Tampines Rovers, Christoper van Huizen pada minit ke-30.

Pendekatan menyerang yang diambil oleh pasukan PSM Makassar tampak berkesan dan berjaya mengekang pasukan dari Singapura tersebut untuk melakukan serangan.

“Pelatih memberi arahan untuk kami terus menggandakan serangan.

Para pemain semua menjalankan tugas yang diamanahkan jurulatih dengan baik, terima kasih kepada semua penyokong terutamanya keluarga kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Rizky berjaya membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Bernardo Tavares dengan menjaringkan gol penyamaan sejurus masa kedua bermula.

Lebih manis lagi, ini merupakan pertama beliau beraksi di kejohanan berprestij Piala AFC selepas dinaikkan daripada pasukan akademi PSM Makassar pada tahun 2019.

“Yang pastinya saya sangat berpuas hati dan gembira kerana berjaya menjaringkan gol di kejohanan besar sepeti ini.”  

Pengalaman beraksi di Liga 1 sebelum ini digunakan sebaiknya oleh Rizky untuk mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan malam ini.

Pada perlawanan pertama, Rizky telah bermain selama 30 minit selepas dimasukkan untuk menggantikan pemain pertahanan, Yance Sayuri yang cedera.

Pada masa yang sama, kehadiran penyokong nyata memberikan keyakinan kepada pasukan muda PSM Makassar untuk memperagakan aksi bertenaga untuk mengejutkan pasukan pilihan itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada para penyokong PSM Makassar yang datang dari jauh untuk menyokong kami.”

Kemenangan ini akan memberi tekanan kepada pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC yang akan berhadapan dengan pasukan Tampines Rovers pada perlawanan penutup kumpulan.

Penyerang pasukan, Everton yang dimasukkan menggantikan Ramadhan Sananta muncul sebagai wira selepas berjaya menjaringkan dua gol pada babak kedua perlawanan untuk memberi kemenangan penting kepada pasukannya.