Pemain PSM Makassar bermain baik, kad merah mengubah rentak permainan – Penyerang Tampines Rovers, Boris Kopitovic

201

Tampines Rovers gagal menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila tewas di tangan pasukan Indonesia, PSM Makassar 3-1 pada perlawanan pertama mereka dalam saingan Kumpulan H Piala AFC 2022.

Meskipun berjaya mendahului perlawanan pada awal permainan, penyerang pasukan, Boris Kopitovic percaya beberapa keputusan yang dilakukan oleh pengadil sedikit sebanyak menjejaskan rentak pasukannya.


“Saya rasa kad merah mengubah sebahagian besar permainan kerana kami kekurangan pemain.

Selepas kad merah, PSM Makassar terus bermain dengan baik dan mengawal permainan,”

katanya.

Kehilangan seorang pemain di bahagian pertahanan jelas menyukarkan kesemua pemain Tampines Rovers untuk melakukan serangan ke arah gawang lawan.

Tambahan pula, PSM Makassar melakukan beberapa pertukaran drastik dengan memasukkan pemain seperti penyerang utama, Everton yang berjaya menjaringkan dua gol pada babak kedua.

“Kami berhadapan perlawanan yang sangat sukar menentang PSM Makassar pada malam ini walaupun kami berjaya bermula dengan baik dan menjaringkan gol.”

Kekalahan ini menjadikan Tampines Rovers berhadapan dengan situasi sukar menjelang aksi terakhir menentang Kuala Lumpur City FC pada 30 Jun ini.

“Fokus kami adalah kepada perlawanan seterusnya, kami mempunyai satu lagi perlawanan wajib menang menentang KL City FC.”

Khidmat Kopitovic yang beraksi cemerlang di Liga Perdana Singapura sebelum ini akan terus ditagih oleh ketua jurulatih pasukan, Gavin Lee pada perlawanan berikutnya untuk menembusi gawang gol KL City.

Walaupun akan berhadapan dengan perlawanan yang sukar pada Khamis ini, Kopitovic tetap optimis untuk membawa kemenangan yang diidamkan oleh pasukannya.

“Kami tidak akan pernah mengalah dan akan berikan yang terbaik pada perlawanan seterusnya, saya yakin kami boleh melakukan dan mendapat tiga mata pada perlawanan tersebut.”

Kopitovic telah menjaringkan 13 gol daripada 11 perlawanan dan merupakan antara kesebelasan utama yang telah berjaya membantu pasukan Tampines Rovers untuk berada di tangga keempat liga.

Pemain dari Montenegro yang baru menyertai pasukan pada Januari tahun ini merupakan antara pembelian terbaru yang dibawa untuk memantapkan bahagian serangan pasukan.

KL City dilihat mempunyai kelebihan apabila seorang pemain bintang Tampines Rovers, Christopher van Huizen tidak akan dapat beraksi pada perlawanan berikut dikenakan kad merah setelah mengumpul dua kad kuning pada separuh masa pertama.