Tampines Rovers enggan ‘angkat bendera putih’ awal

378

Ketua jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee mahu anak-anak buahnya terus berjuang pada perlawanan terkahir Kumpulan H Piala Asia 2022 walaupun peluang pasukannya untuk layak amat tipis.

Beliau berkata pasukannya akan terus memberi sepenuhnya pada perlawanan seterusnya menentang KL City FC Khamis ini (30 Jun).


“Secara matematik dan teori mungkin kami masih ada peluang walaupun ia tipis, tetapi apa yang kami mahu adalah memberi yang terbaik pada perlawanan seterusnya.

Kami sudah melengkapkan babak pertama kejohanan ini dan menentang KL City adalah babak kedua, bagi Tampines Rovers selagi peluang dan harapan masih ada kami tidak akan mengalah,”

katanya

Biarpun tewas 3-1 kepada PSM Makassar pada perlawanan malam tadi, beliau tetap berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya.

Beliau mengakui pasukannya berdepan kesulitan selepas pemain sayap, Christopher van Huizen dilayangkan kad merah pada minit ke-30.

“Kami bermula dengan baik mengikut gaya permainan yang telah kami rancang tetapi pemain kami dilayangkan kad merah menyebabkan kami berdepan kesukaran.

Ia menjadi lebih sukar buat kami selepas mereka menjaringkan gol awal pada separuh masa kedua dan mereka kemudian mendapat momentum selepas itu.”

Beliau bagaimanapun enggan memberi komen mengenai kad merah tersebut dan berkata mahu fokus terhadap permainan pasukannya.

Perlawanan antara Tampines Rovers dan KL City akan berlangsung pukul 8.00 malam Khamis ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.