MFL patut contohi falsafah Bundesliga, Borussia Dortmund dalam memasarkan Liga Malaysia

115

Gergasi Bundesliga, Bayern Munich baru-baru ini mengumumkan perpindahan bintang Senegal, Sadio Mane dari Liverpool dengan nilai £35 juta (RM188.8 juta).

Ia boleh dikatakan salah satu perpindahan paling berprofil tinggi pada musim panas ini dan ia pastinya menguatkan lagi Munich kerana Mane masih lagi berada di kemuncaknya.


Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke menyatakan bahawa perpindahan itu adalah satu langkah bijak yang dilakukan oleh juara Bundesliga itu.

Walaupun pasukannya merupakan antara pencabar liga kepada Munich, namun beliau mengakui kedatangan bintang ternama seperti Mane adalah satu perkara yang baik kerana ia dapat meningkatkan lagi reputasi liga itu.

Menurutnya ia secara tidak langsung boleh membantu kelab-kelab lain dari segi pemasaran.

Penganjur Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL) mungkin boleh mencontohi falsafah yang diterapkan oleh Bundesliga dan Borussia Dortmund sendiri dalam memasarkan liga supaya dapat menarik wang.

Mereka boleh melihat bagaimana nama-nama besar mampu menaikkan lagi wajah Liga Malaysia di mata pihak luar sekaligus menarik pelabur-pelabur untuk melabur.

Selain itu, Watzke turut merasakan bahawa kembalinya Mario Gotze ke Bundesliga juga adalah sesuatu yang baik untuk memasarkan Bundesliga memandangkan pemain itu mempunyai aura yang kuat di Jerman.

Sebagai penganjur, MFL harus menguatkan penjenamaan liga supaya nama-nama besar tertarik untuk bermain di Malaysia.

Di samping itu, kelab-kelab juga harus memainkan peranan untuk mempromosikan kelab mereka sendiri supaya selari dengan usaha yang dilakukan oleh MFL

Sekiranya perkara itu dapat dilakukan ia pasti akan dapat menarik pelabur untuk ‘menghabiskan’ wang mereka di Liga Malaysia.