JDT ‘lubuk’ pemain kebangsaan, jadi pusat tingkatkan kualiti pemain negara

3,136

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) telah mengumumkan keinginan beliau untuk membawa pemain pertahanan negara, Dion Cools ke Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada musim hadapan.

Cools yang kini beraksi bersama kelab Denmark, FC Midtjylland dikhabarkan akan dibawa masuk pada akhir tahun ini.


Kenyataan ini mendapat 1001 reaksi daripada peminat termasuk beberapa kumpulan yang mempertikaikan dan berharap agar perkara ini tidak terjadi.

Ada yang turut menganggap perkara ini akan menyebabkan prestasi semasa Cools yang cemerlang bersama skuad kebangsaan akan mula menurun.

Namun, situasi ini perlu juga dilihat dari sudut positif lebih-lebih lagi terhadap peningkatan kualiti pasukan kebangsaan secara keseluruhannya.

Sebelum ini, seramai 17 orang pemain pasukan JDT telah dipilih untuk mewakili pasukan negara di saingan kelayakan Piala Asia 2023 dan kemasukan Cools selepas ini akan menambahkan lagi bilangan tersebut.

Sekiranya JDT dipenuhi oleh pemain pasukan kebangsaan, lebih mudah untuk mereka mendapatkan chemistry yang akan membantu pasukan kendalian Kim Pan-gon untuk terus mempamerkan aksi cemerlang pada setiap perlawanan antarabangsa selepas ini.

Tambahan lagi, kemampuan JDT untuk melangkah ke saingan AFC Champions League (ACL) pada setiap musim akan memberi pendedahan kepada para pemain kebangsaan untuk berhadapan dengan lawan yang jauh lebih kuat.

Kejohanan ACL merupakan saingan tertinggi di peringkat Asia yang mengumpulkan pasukan-pasukan terkuat rantau ini dan turut dibarisi oleh pemain ternama Asia yang pernah beraksi di Piala Dunia seperti pemain pertahanan Urawa Red Diamonds, Hiroki Sakai.

Pada masa yang sama, latihan berintensiti tinggi yang telah diterapkan sekian lama oleh pasukan JDT akan membantu untuk menghasilkan pemain yang mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang lebih tinggi.

Perkara ini dapat dilihat menerusi kejayaan pasukan JDT mendominasi setiap kejohanan dan yang terkini, mereka berjaya mara ke pusingan 16 terbaik ACL 2022.

Walaupun begitu, lambakan pemain berkualiti turut memberi kesan kepada minit permainan sebilangan individu yang kurang mendapat tempat dalam skuad utama.

Pemain yang gagal mendapat tempat di JDT perlu diberi peluang untuk berhijrah ke pasukan lain yang lebih memerlukan khidmat mereka.

Ini adalah untuk membantu pemain muda negara seperti Akhyar Rashid dan Daniel Amier untuk kembali mendapatkan rentak mereka dan tidak terus tenggelam dek penambahan pemain yang berlaku.

Cools yang menyertai FC Midtjylland pada Januari 2020 telah berjaya membuat 12 penampilan musim ini sebelum dipinjamkan ke kelab Belgium, Zulte Waregem FC sehingga penghujung bulan Jun.