Giancarlo Gallifuoco sedih, terkejut Daniel Ting sertai JDT

1,657

Pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco mengakui berasa sedih apabila mengetahui bekas rakan sepasukannya, Daniel Ting menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut Gallifuoco atau lebih mesra dengan panggilan GG, sebagai rakan beliau sememangnya mahu pemain itu pulang semula ke pangkuan KL City sebelum ini.


“Sebagai rakan sepasukan sudah tentu saya berasa sedikit sedih apabila beliau berhijrah.

Saya memang nak dia balik ke sini tetapi kini saya ucapkan selamat maju jaya buatnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Semalam, JDT secara rasminya mengumumkan Ting menyertai kelab itu melalui satu video di laman sosialnya.

Ting sebelum ini menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas gagal melapor diri kepada KL City sebelum saingan musim ini bermula.

Difahamkan keengganan beliau untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 membuatkan beliau terpaksa dilepaskan oleh kelab.

Dalam pada itu, GG berkata persiapan pasukan bagi perlawanan terakhir Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang Tampines Rovers berada dalam keadaan yang baik.

Katanya, para pemain akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaringkan banyak gol pada perlawanan itu bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Perlawanan antara KL City dan Tampines Rovers akan berlangsung pada pukul 8.00 malam Khamis (30 Jun) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.