Kenny Pallraj nafi didenda KL City, cuma mahu tumpukan lebih perhatian terhadap bola sepak

602

Pemain tengah KL City FC, Kenny Pallraj menafikan beliau didenda oleh KL City FC dengan tidak dibenarkan untuk bercakap kepada media gara-gara kontroversi hantaran Instastory mengenai bola sepak Malaysia April lalu.

Menurutnya beliau hanya mahu ‘berehat’ sebentar dari memberi sebarang kenyataan kepada media dan memberikan lebih perhatian lebih terhadap bola sepak.


“Saya tidaklah didenda cuma saya ‘hold’ sekejap dan fokus terhadap bola sepak, itu saja.

Lagipun saya tidak tujukan kepada sesiapa dan tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak, saya cuma luahkan sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana memuatnaik hantaran Instastory yang mengatakan bahawa bola sepak Malaysia masih dijajah.

Sementara itu, bercerita lanjut menganai persiapan KL City bagi perlawanan terakhir Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang Tampines Rovers Khamis ini (30 Jun), beliau berkata para pemain menjalani latihan seperti biasa dan bersiap sedia untuk memberi yang terbaik.

Tambahnya, walaupun berasa sedikit tertekan kerana terpaksa menang dengan perbezaan tiga jaringan untuk layak, beliau tidak mahu terlalu berfikir mengenai perkara itu dan hanya mahu fokus untuk menang.

“Memang tekanan itu dapat dirasai tetapi dalam kepala saya hanya mahu fikirkan kemenangan.

Kami akan bekerja keras esok dan akan ikut segala perancangan jurulatih untuk membawa kemenangan kepada penyokong.”

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh penyokong bola sepak Malaysia untuk hadir memberi sokongan buat KL City di stadium esok.

Beliau berkata sokongan penyokong adalah penting untuk menaikkan lagi semangat para pemain untuk beraksi dengan lebih baik.