Irfan Zakaria yakin KL City FC mampu ledak tiga gol menentang Tampines Rovers

490

Tonggak KL City FC, Muhammad Irfan Zakaria yakin pasukannya mampu menang dengan perbezaan jaringan tiga gol pada perlawanan terakhir Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang Tampines Rovers.

Menurut Irfan, walaupun perkara itu sukar namun ia tidak mustahil untuk dicapai kerana beliau dan rakan sepasukan akan berusaha untuk merealisasikannya.


“Tekanan itu ada kerana Tampines Rovers adalah satu pasukan yang kuat tetapi segala-galanya tidak mustahil.

Kami akan fokus kepada satu demi satu gol, mungkin satu gol dahulu pada separuh masa pertama dan tambah lagi kemudian,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga mengakui pasukan sedang memberbaiki dari segi penyudah selepas gagal menjaringkan sebarang gol pada perlawanan menentang PSM Makassar tempoh hari.

Dalam pada itu, Irfan merasakan bahawa pentas Piala AFC merupakan medan yang baik buatnya untuk mempamerkan kebolehan bagi menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

“Bermain di kejohanan ini bukanlah mudah kerana kita bersaing dengan kelab luar negara.

Mungkin pengalaman bermain di sini sedikit sebanyak boleh membantu untuk mendapatkan panggilan skuad kebangsaan.”

Dalam pada itu beliau turut menyeru penyokong KL City untuk hadir beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan.

KL City harus memastikan perbezaan tiga jaringan dapat dicatat pada perlawanan menentang Tampines Rovers bagi menduduki tangga pertama kumpulan sekaligus melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

PSM Makassar kini menghuni tangga pertama Kumpulan H dengan empat mata diikuti KL City dengan satu mata dan Tampines Rovers yang masih gagal meraih sebarang mata.