Selangor FC terus jadi fokus utama Brendan Gan

213

Ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsan.

“Selangor FC kini menjadi keutamaan untuk diri saya, saya ingin kembali pulih sepenuhnya terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk kembali ke pasukan negara.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini, Brendan telah disebut-sebut akan membuat kemunculan semula dalam skuad Harimau Malaya selepas berjaya pulih dari kanser yang dihadapinya sebelum ini.


Mengulas lanjut mengenai perlawanan malam tadi, Brendan nyata kecewa apabila gagal membantu Selangor untuk mengutip tiga mata penuh menentang Sabah FC malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Super.

“Saya kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh saya secara individu tetapi saya bangga dengan persembahan yang dipamerkan oleh kesemua pemain yang lain.”

Beliau bagaimanapun bangga dengan kesemua barisan pemain yang berjaya bangkit daripada kesedihan selepas tewas besar pada perlawanan yang lepas dengan menunjukkan kualiti persembahan yang cukup baik sepanjang perlawanan malam tadi.

Meskipun beraksi dengan cemerlang sepanjang 90 minit permainan, Brendan gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan yang sudah terhidang kepadanya.

Beliau yang sebelum ini menerima beberapa komen negatif terhadap keadaan kesihatan beliau tidak memandang perkara tersebut sebagai suatu perkara yang akan menjejaskan kualiti permainannya.

“Saya tidak peduli tentang apa yang orang katakan, orang akan sentiasa berkata dan ia merupakan perkara yang biasa di dalam permainan bola sepak.

Saya akan terus berusaha, saya sudah pernah melalui situasi yang sangat teruk dan tiada perkara yang akan mematahkan semangat saya.”

Selangor berjaya membuka jaringan pada awal perlawanan menerusi penjaring terbanyak mereka, Herlison Caion yang berjaya menembusi bahagian pertahanan Sabah yang dikemudikan oleh Jackson De Souza.

Skuad Gergasi Merah tampak garang setelah berjaya menguasai permainan pada awalnya, namun ia tidak bertahan lama apabila Sabah FC kembali menemui rentak dan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua untuk kedua-dua pasukan pulang dengan satu mata.

Dalam pada itu, Brendan berkata setiap pasukan di Liga Malaysia perlu segera merangka pelan dalam membina program pembangunan bakat bola sepak di setiap negeri.

“Kini ia terletak di tangan kesemua kelab, mereka perlu memberi fokus kepada pembangunan akar umbi agar kesemua pemain muda dapat mewakili pasukan utama.

Perpindahan akan sentiasa berlaku di dalam bola sepak, tetapi kelab perlu bersedia dan hasilkan pelapis yang mampu bersaing di masa hadapan.”

Brendan berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pandangan penyokong yang merasakan lambakan pemain bintang dan kebangsaan dalam satu pasukan akan menyebabkan liga menjadi tidak kompetitif dan hanya didominasi oleh satu pasukan sahaja.