Saddil ditekan Sabah FC gara-gara pulang lewat, tetapi gembira dapat luangkan masa bersama keluarga
Pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani menjelaskan bahawa kelewatan beliau pulang ke Sabah FC selepas aksi antarabangsa tempoh hari adalah disebabkan beliau menghabiskan masa bersama keluarganya.
Menurut Saddil, dalam tempoh setahun ini beliau jarang pulang ke kampung halaman, jadi itu adalah satu kesempatan buatnya untuk berjumpa keluarganya.
“Ketika itu keluarga saya datang ke Jakarta untuk jenguk saya jadi saya amat gembira kerana dapat bertemu mereka sampaikan saya tak pegang telefon bimbit langsung.
Setelah tiga hari di sana, saya balik dengan hati yang tenang walaupun pihak pengurusan bagi tekanan kepada saya, tetapi saya dah terangkan kepada mereka dengan baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Nama Saddil sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila dilaporkan lewat melaporkan diri ke pangkuan Sabah selepas tugasan bersama skuad kebangsaan Indonesia selesai.
Dalam pada itu, Saddil yang diminta mengulas mengenai perpindahan pemain Jordi Amat ke Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau berkata ia adalah satu keputusan yang baik buat karier pemain itu memandangkan ia merupakan kelab terbesar di Asia Tenggara.
“Kita tahu JDT adalah pasukan terbesar di ASEAN dengan kualiti yang sangat baik jadi ia pastinya keputusan terbaik buat dirinya.
Saya yakin semua pasukan juga mahu mencontohi JDT dan berharap dapat menjadi seperti mereka pada masa hadapan.”
Sementara itu, Saddil meluahkan rasa bersyukurnya selepas pasukannya berjaya mencuri satu mata daripada Selangor FC di tempat lawan dalam perlawanan Liga Super malam tadi.
Beliau berkata dorongan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dan juga pemain-pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah telah memberi motivasi kepada mereka untuk mengikat kedudukan selepas ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.
Saddil juga turut berterima kasih kepada penyokong yang hadir untuk memberi sokongan kepada beliau dan rakan-rakan pada perlawanan itu.