Bermain tanpa tekanan jadi kunci kejayaan pasukan Sabah FC – Baddrol Bakhtiar

3,642

Ketua pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua pemain pasukan tersebut pada perlawanan menentang Selangor FC malam tadi.

Kebolehan menyerap tekanan jadi tunjang utama yang membantu para pemain Sabah untuk mempamerkan aksi yang menyakinkan pada malam ini.  


“Kami diberikan sedikit kata-kata semangat oleh jurulatih pada separuh masa untuk kami bermain tanpa tekanan seperti sebelum ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Motivasi yang diberikan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee nyata berjaya menaikkan semangat anak buahnya yang ketinggalan 1-0 pada babak pertama.

Kejayaan mengikat pasukan tuan rumah yang belum pernah tewas dan seri di halaman sendiri menjadi antara pencapaian terbaik pasukan yang sedang meningkat naik pada saingan liga musim ini.

“Kami berpuas hati dengan keputusan pada malam ini selepas menunjukkan aksi terbaik dan berjaya mengikut arahan yang diberikan oleh jurulatih dengan sebaiknya.”

Baddrol merupakan antara pemain berpengalaman yang dimiliki oleh pasukan Sabah di samping kehadiran bekas pemain negara seperti Amri Yahyah dan Khairul Fahmi Che Mat.

Kehadiran pemain-pemain ini dilihat menjadi antara elemen utama yang menyokong kebangkitan luar biasa yang ditunjukkan oleh skuad Sang Badak yang hanya tewas dua kali sahaja setakat ini selepas sembilan perlawanan.

“Pemain muda memerlukan kata-kata yang positif, jadi pemain senior di pasukan Sabah sentiasa memberikan motivasi kepada kesemua pemain muda untuk beraksi dengan baik.”

Baddrol memasang harapan yang besar untuk memacu pasukan Sabah mencapai kejayaan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini bersama bekas pasukannya, Kedah Darul Aman (KDA) FC.  

“Saya belum memikirkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan kerana fokus utama saya adalah untuk membawa Sabah lebih jauh.”

Ketenangan beliau mengemudi bahagian tengah pasukan Sabah menjadi faktor utama kejayaan pasukan tersebut mengikat pasukan gergasi seperti Selangor.

Semangat juang tinggi yang telah ditunjukkan oleh kesemua pemain turut membantu pasukan Sabah meskipun ketinggalan di minit awal permainan.

Kim Swee perlu segera memperbaiki beberapa kelemahan di bahagian pertahanan yang dilihat sedikit longgar yang mana mereka telah melepaskan beberapa gerakan merbahaya sekaligus mengancam gawang pasukan Sabah.