Indonesia ada peluang cerah untuk jadi tuan rumah Piala Asia 2023

2,046

Selepas China menarik diri sebagai tuan rumah untuk kejohanan Piala Asia 2023, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah membuka bidaan kepada mana-mana Member Association yang ingin menjadi tuan rumah.

Malah AFC juga bertindak melanjutkan tarikh bidaan yang mana negara yang berminat perlu membida sebelum 15 Julai ini.


Indonesia menjadi salah sebuah negara di Asia Tenggara yang telah menyuarakan minat untuk menjadi tuan rumah, malah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) juga telah menghantar surat bida rasmi kepada AFC untuk menjadi penganjur.

Malah Presiden Indonesia sendiri iaitu Joko Widodo turut memberi ‘lampu hijau’ buat PSSI untuk meneruskan hasrat mereka untuk menjadi tuan rumah.

Selain Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan Australia juga sebelum ini dilaporkan berminat untuk menjadi tuan rumah tetapi Indonesia berkemungkinan besar mempunyai peluang lebih sedikit berikutan pada tahun hadapan mereka juga akan menjadi penganjur Piala Dunia B-20.

Oleh itu, dari segi fasiliti, infrastruktur dan pelbagai aspek sudah tersedia dan berada dalam keadaan terbaik berikutan umum sedia maklum bahawa Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) sangat menitikberatkan soal kualiti pada setiap kejohanan anjuran mereka.

Tambahan pula, mereka turut mempunyai sebuah stadium baru iaitu Jakarta International Stadium (JIS) yang merupakan antara stadium terbesar dan tercanggih di dunia.

Ternyata hasrat PSSI untuk menjadi tuan rumah mendapat sokongan padu daripada semua pihak termasuklah ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia iaitu Shin Tae-yong yang menyokong penuh negara itu menjadi tuan rumah.

Jelasnya, dengan penganjuran kejohanan besar seperti ini, bola sepak negara Indonesia akan terus berkembang ke arah yang lebih baik.

Lebih manis lagi apabila skuad kebangsaan Indonesia layak secara merit dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Kuwait baru-baru ini selepas mereka berjaya menjadi naib juara Kumpulan A.

Bola sepak Indonesia kini semakin berkembang dengan positif sejak pengendali dari Korea Selatan itu mengambil alih skuad kebangsaan.

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya telah membuatkan PSSI memberi kepercayaan kepadanya untuk mengendalikan tiga skuad kebangsaan iaitu skuad senior, B-23 dan B-19.