Romel Morales sukakan tekanan, yakin KL City FC mampu jaringkan lebih tiga gol menentang Tampines Rovers

234

Penyerang KL City FC, Romel Morales yakin beliau dan rakan-rakan mampu menjaringkan lebih daripada tiga gol pada perlawanan terakhir kumpulan H Piala AFC menentang Tampines Rovers.

Beliau berkata walaupun berasa tertekan kerana perlu menjaringkan banyak gol, ia adalah perkara yang sudah biasa dilalui oleh para pemain KL City.


“Sudah tentu saya yakin kerana ini merupakan perlawanan penting buat kelab dan kami suka bila berdepan tekanan seperti ini.

Kami telah buktikan tahun lalu kami boleh mendapatkan keputusan yang baik apabila berada dalam tekanan seperti yang berlaku pada Piala Malaysia,”

katanya.

Menurut Morales, perlawanan esok juga menjadi medan buatnya untuk mengekalkan kedudukannya sebagai penyerang utama pasukan.

Beliau percaya rakan-rakannya mampu memberikan bantuan untuknya menjaringkan sebanyak gol yang mungkin.

“Sebagai seorang penyerang saya perlu mengambil tekanan untuk menjaringkan gol tetapi apabila anda mempunyai rakan seperti Paulo Josue, Zhafri Yahya, Partiban Janasekaran, Kevin Koubemba dan lain-lain yang boleh memberi bantuan gol, anda hanya perlu tunggu di depan dan bersabar.

Pada perlawanan lalu kami gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai banyak peluang tetapi kami juga sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk memperbaiki perkara itu.”

Tambahnya lagi, semua pemain sudah tahu mengenai tugas masing-masing dan mahu menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

KL City harus memastikan mereka menang dengan sekurang-kurangnya perbezaan tiga jaringan bagi memintas PSM Makassar yang kini menduduki tangga pertama kumpulan.