Jadikan cabaran sebagai motivasi untuk bangkit di Terbuka Malaysia

1,980

Bekas pemain perseorangan lelaki No. 1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei telah memberi cabaran kepada semua barisan pemain negara untuk memecahkan rekod yang dimilikinya sebelum ini di Terbuka Malaysia.

Chong Wei merupakan pemenang terbanyak kejohanan tersebut selepas berjaya merangkul 12 kejuaraan sepanjang penyertaannya.


Kejayaan yang paling diingati oleh peminat adalah apabila beliau berjaya mempertahankan kejuaraannya di Terbuka Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut bermula daripada tahun 2008 sehingga 2014.

Beliau percaya bahawa kejohanan Terbuka Malaysia 2022 akan menjadi pentas terbaik untuk para pemain negara membuktikan kemampuan mereka lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Situasi ini akan menjadi cabaran yang amat berat untuk digalas oleh pemain badminton negara seperti Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.

Zii Jia yang diletakkan sebagai harapan utama negara perlu menjadikan cabaran ini sebagai motivasi untuk beliau kembali mempamerkan kehebatan di atas gelanggang. Manakala Tze Yong sudahpun terkandas di pusingan pertama sebentar tadi.

Sehingga ke hari ini barisan pemain perseorangan lelaki negara terutamanya dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum mampu menunjukkan tanda-tanda kebangkitan dan konsistensi yang diharapkan oleh semua penyokong.

Pemain muda seperti Tze Yong dan Leong Jun Hao yang telah beraksi di Piala Thomas sebelum ini masih jauh ketinggalan di belakang dari segi ranking serta pencapaian semasa.

Pertukaran jurulatih dan beberapa rombakan yang dilakukan masih belum mampu membantu dalam meningkatkan lagi prestasi yang dipamerkan oleh kesemua pemain negara.

Situasi ini terus menjadi isu besar yang dihadapi oleh skuad badminton negara apabila pemain dilihat sentiasa berhadapan jalan buntu dalam usaha untuk meraih kejayaan.

Kesemua pemain perlu mengambil serius terhadap kata-kata yang telah dilontarkan oleh legenda badminton negara, Chong Wei.

Sebelum ini, pasangan utama beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut menerima kritikan dari pelbagai pihak termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky ekoran daripada deretan aksi yang hambar.  

Jadikan segala cabaran, kritikan dan komen sebagai motivasi untuk segera bangkit meningkatkan lagi prestasi dan menjulang kembali nama negara di persada antarabangsa.

Sebelum ini, keputusan Zii Jia untuk menarik diri dari Sukan Komanwel untuk memberi fokus kepada Kejohanan Dunia telah mendapat pelbagai reaksi dari semua pihak termasuk Chong Wei yang merasakan sebagai tindakan tersebut adalah tidak patut dilakukan.

Zii Jia perlu membuktikan kemampuan beliau terlebih dahulu di kejohanan Terbuka Malaysia 2022 sebelum memasang impian untuk menakluki kejohanan yang lebih besar seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

Kali terakhir pemain negara memenangi kejohanan Terbuka Malaysia adalah menerusi Chong Wei pada tahun 2018.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen