Selamat tinggal program naturalisasi, selamat datang pemain warisan

9,841

Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memberi bayangan bahawa mereka tidak mahu lagi meneruskan program naturalisasi selepas pemain yang diberi kerakyatan gagal memberi impak kepada skuad kebangsaan.

Tiga pemain yang mendapat kerakyatan adalah Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi, lebih malang lagi khidmat mereka juga tidak digunakan kelab mereka iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka sering ‘disimpan’ dan memanaskan bangku simpanan sahaja.


Hanya Liridon sahaja yang dipinjamkan ke sebuah kelab di India, bagaimanapun tempoh pinjaman sudah tamat dan beliau kini kembali ke pangkuan JDT.

Susulan itu, FAM kini mahu memberi fokus kepada kepada pemain warisan pula yang mana ia telah terbukti memberikan impak yang cukup besar kepada skuad negara dan ia boleh dibanggakan apabila mereka berjaya bantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Bukan FAM sahaja yang sudah menghentikan program naturalisasi, malah Malaysian Football League (MFL) juga mengambil pendekatan sama apabila mereka menolak permohonan Sri Pahang untuk menaturalisasikan dua pemain mereka iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Perkembangan terbaru itu turut disambut baik oleh pemilik JDT sendiri iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ketika satu sesi bersama peminat JDT baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Tunku Ismail berkata ia adalah keputusan yang tepat bagi menjaga kelangsungan pemain tempatan dalam liga.

Malah TMJ juga menegaskan sekiranya ia tidak memberi kelebihan atau keuntungan kepada negara, tiada keperluan untuk pemain import yang berada di hujung karier diberikan kerakyatan sewenang-wenangnya.

TMJ turut menjelaskan bahawa program naturalisasikan yang diperkenalkan adalah satu kesilapan oleh FAM, dan jika mereka mahu menggunakan pemain naturalisasi seseorang pemain itu harus lebih muda dan boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang.

Penyokong bola sepak tanah air sebelum ini ramai yang tidak bersetuju dengan program naturalisasi kerana menganggap ia akan ‘membunuh’ peluang untuk pemain tempatan beraksi.

Bagaimanapun pengambilan pemain warisan kini menjadi trend dan telah disambut baik oleh banyak pihak termasuk penyokong sendiri yang dapat melihat sendiri komitmen dan kesungguhan pemain warisan apabila mereka menyarung jersi Harimau Malaya.