Netizen Indonesia rasa dikhianati Jordi Amat berpindah ke JDT, wakil rakyat turut bantah sekerasnya
Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya melengkapkan perpindahan pemain Sepanyol berdarah Indonesia, Jordi Amat selepas kontrak pemain itu bersama kelab Belgium, K.A.S. Eupen tamat.
Dalam satu kenyataan selepas menandatangani bersama kelab itu, beliau meluahkan kegembiraannya untuk bermain di pentas tertinggi Asia iaitu AFC Champions League (ACL) dan juga meyifatkan fasiliti kelas dunia yang terdapat di kelab itu tidak terdapat di mana-mana kelab yang pernah disertainya.
Walaupun beliau kelihatan begitu gembira menyertai JDT, berbeza pula dengan penerimaan penyokong Indonesia yang rata-ratanya ‘sakit hati’ dengan keputusannya untuk bersama kelab Malaysia.
Mereka menentang sekeras-kerasnya proses naturalisasi pemain itu yang dilaporkan sedang berada dalam perancangan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).
Kebanyakan penyokong bola sepak Indonesia merasakan mereka dikhianati kerana tujuan asal mereka menyokong proses naturalisasi tersebut adalah untuk melihat pemain kebangsaan Indonesia bermain di Eropah.
Ramai yang merasakan perpindahannya dari Eropah ke Asia Tenggara adalah satu kejatuhan dalam karier memandangkan tahap bola sepak yang berbeza akan membuatkan kualiti beliau akan semakin menurun.
Selain itu, mereka juga menganggap bahawa tujuan proses naturalisasi itu semata-mata adalah untuk memberi manfaat kepada JDT untuk mengisi kuota import ASEAN dan bukannya kepada skuad kebangsaan Indonesia.
Ada juga yang menganggap ia sebagai salah satu cara untuk melemahkan skuad kebangsaan Indonesia kerana JDT mempunyai kuasa untuk menghalang pemain itu daripada menyertai skuad kebangsaan.
Walapun beliau memberi penjelasan mengenai perpindahan itu menerusi laman sosialnya, penyokong tidak ‘termakan’ dengan kata-katanya sehinggakan ada yang mewujudkan petisyen untuk membantah proses naturalisasi beliau.
Laman sosial Amat juga diserang oleh netizen Indonesia yang tidak berpuas hati dengan perpindahan pemain itu ke JDT.
Perkara itu turut mendapat perhatian anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Syaiful Huda yang membantah proses naturalisasi Amat.
Beliau beranggapan perkara itu tidak bagus untuk jangka masa panjang dan berkata Amat yang kini berusia 30 tahun sudah terlalu tua untuk proses itu.
Syaiful juga mendesak supaya PSSI menumpukan kepada dua pemain yang lebih muda supaya boleh digunakan untuk masa yang lama iaitu Sandy Walsh yang bermain di liga Belgium bersama KV Mechelen dan juga Shayne Pattynama yang bermain dengan Viking FK di liga Norway.
Walsh yang bermain di posisi pertahanan kanan kini berusia 27 tahun manakala Pattynama yang merupakan pertahanan kiri pula berusia 23 tahun.
Walaupun Amat kini sudah sah milik JDT, kehangatan perpindahan ini masih lagi terasa terutama dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia dan mungkin akan mengambil masa untuk reda.
Namun isu ini mungkin akan menjadi hangat kembali pada masa hadapan sekiranya Amat tidak dilepaskan oleh JDT untuk mewakili Indonesia dalam mana-mana kejohanan.