Saya akan guna sepenuhnya 25 pemain yang dibawa ke Piala AFF B-19 – Hassan Sazali

867

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Hassan Sazali gembira apabila permintaannya untuk membawa 25 pemain ke saingan Piala AFF B-19 mendapat persetujuan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita akan bermain secara karnival bermula 5 Julai bertemu dengan Kemboja, 7 Julai bertemu Singapura, 9 Julai bertemu Timor-Leste dan terakhir bertemu dengan Laos pada 11 Julai jadi bagi saya kita perlu kesemua 25 pemain ini untuk penggiliran pemain.

“Saya tidak boleh tumpukan pada kesebelasan utama sahaja, jadi saya akan guna sepenuhnya 25 pemain-pemain ini terutamanya pada pusingan awal,”

katanya.

Sebelum ini Hassan berkata beliau telah memanggil 26 pemain untuk menyertai kem latihan negara yang mana beliau kemudian akan membuat keputusan untuk bawa 23 pemain sahaja.


Hassan memberitahu beliau terpaksa menggugurkan dua pemain iaitu Azhad Harraz dan Puvanan Sekar kerana mengalami kecederaan, namun memanggil seorang lagi pemain yang berada dalam senarai bersedia iaitu Danish Irfan dari Selangor FC II.

Dalam pada itu, Hassan menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan anak buahnya selepas melihat aksi persembahan mereka ketika perlawanan persahabatan menentang UiTM FC semalam.

Menurutnya, pemain-pemain mampu menterjemahkan corak permainan yang dimahukannya iaitu corak berintensiti tinggi.

Sementara itu, Hassan yang ditanya mengenai sasaran separuh akhir yang diletakkan oleh FAM kepada skuadnya berkata beliau enggan meletakkan tekanan kepada pemainnya kerana mereka mahu fokus dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

“Saya lebih tertumpu kepada perlawanan-perlawanan peringkat awal terlebih dahulu, jadi saya tidak mahu meletakkan satu tekanan kepada pemain untuk meletakkan sasaran berikutnya.

Itu adalah lebih untuk kita fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan lain terlebih dahulu.”

Hassan pada sama turut berkata beliau telah meminta kepada setiap pemain supaya tidak bersikap sambil lewa berikutan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B yang di atas kertas memperlihatkan skuad Harimau Muda mempunyai peluang cerah untuk mara ke peringkat seterusnya.

Piala AFF B-19 yang berlangsung di Indonesia akan membuka tirai kejohanan bermula 2 Julai ini.