Abdul Rahman yakin mereka mampu layak ke separuh akhir Piala AFF B-19
Penyerang skuad kebangsaan B-19, Abdul Rahman Daud menyuarakan keyakinannya yang beliau dan rakan sepasukan mampu menepati sasaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk layak ke separuh akhir Piala AFF B-19.
“Sasaran yang diletakkan untuk ke separuh akhir tidak memberi kami tekanan langsung kerana kami percaya dengan pasukan yang kami ada.
Setiap pemain ada kelebihan masing-masing dan saya percaya kami mampu beri aksi terbaik di Piala AFF nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain yang beraksi untuk Selangor FC II ini turut meluahkan rasa gembiranya apabila akhirnya beliau dapat menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama.
Malah beliau berjanji akan membalas kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan dengan memberikan aksi yang terbaik sepanjang saingan Piala AFF B-19.
Abdul Rahman berkemungkinan akan menjadi penyerang utama selepas seorang lagi penyerang iaitu Azhad Harraz terpaksa digugurkan dari skuad berikutan mengalami kecederaan bahu.
“Ketiadaan Azhad sememangnya memberi kesan kepada pasukan tapi kami ada pemain-pemain lain yang mampu mengisi tempat Azhad dan saya salah seorang penyerang yang boleh gantikan tempatnya. Jadi saya akan galas dengan baik tugas sebagai penyerang negara.”
Skuad B-19 telah terbang awal ke Indonesia pada tengahari tadi supaya mempunyai masa lebih untuk melakukan latihan sebelum membuka tirai perlawanan pertama mereka pada 5 Julai menentang Kemboja.
Harimau Muda kemudian akan bertemu dengan Singapura pada 7 Julai, Timor-Leste pada 9 Julai dan perlawanan terakhir menentang Laos pada 11 Julai.