Paolo Josue jaringkan dua gol bermakna, buktikan kredibiliti selaku peledak utama KL City FC

236

Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC, Paolo Josue menzahirkan kegembiraan beliau setelah berjaya membantu pasukannya layak ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC 2022.

“Saya berasa sangat gembira selepas berjaya menjaringkan gol kerana itu adalah tugas saya untuk menjaringkan gol,”

katanya.

Kemenangan tipis menentang Tampines Rovers FC meletakkan KL City sebagai pasukan naib juara terbaik di atas pasukan Bali United FC dan Hougang United FC.


Selepas ini, mereka dijadual bertemu sebuah pasukan pilihan dari Vietnam, Viettel FC yang telah menjuarai saingan Kumpulan I.

“Kita perlu lakukan banyak perubahan untuk meningkatkan prestasi dan saya berharap masa akan menyebelahi kita di peringkat separuh akhir.”

Josue dilihat berjaya mempamerkan ketajaman beliau di bahagian serangan selepas berjaya menjaringkan kedua-dua gol pasukan KL City di babak pertama.

“Saya cuba membantu pasukan untuk menjaringkan gol dan menjadi juara kumpulan tapi kemenangan sudah cukup untuk kami.”

Meskipun bermula garang, pasukan kendalian Bojan Hodak dilihat telah memperlahankan serangan sejurus babak kedua bermula.

Situasi itu sedikit sebanyak membuka peluang kepada pasukan Tampines Rovers untuk melakukan asakan merbahaya ke arah penjaga gawang, Kevin Mendoza yang turut mempamerkan aksi cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.

Bojan perlu terus memperbaiki beberapa bahagian dalam pasukannya menjelang aksi separuh akhir kelak.

Kemasukan penyerang baru, Jordan Mintah akan menjadi antara aset utama yang akan membantu menajamkan lagi bahagian serangan The City Boys.

Josue dan rakan sepasukan perlu memanfaatkan tempoh persiapan dengan sebaiknya bagi membolehkan mereka mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan yang dijadualkan pada 10 Ogos depan.

“Kami perlu terus fokus, banyak untuk kami perbaiki sebelum melangkah ke perlawanan seterusnya.

“Kami mempunyai sebulan lebih sebelum ke Vietnam dan penambahan pemain baru akan meningkatkan keyakinan pasukan kami di perlawanan seterusnya.”

Kemenangan ini meletakkan pasukan ibu kota tersebut di tangga kedua di belakang pasukan Indonesia, PSM Makassar yang memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan.