Kejayaan mara ke peringkat separuh akhir zon ASEAN Piala AFC 2022 letak KL City FC di kelas berbeza

611

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard nyata bangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh pasukannya setelah berjaya mengalahkan Tampines Rovers FC dari Singapura.

Lebih manis, saingan tahun ini merupakan kali pertama pasukan ibu kota tersebut beraksi di pentas Piala AFC selepas berjaya menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2021.


“Kejayaan ini adalah sebuah pencapaian hebat untuk pasukan yang baru meningkat naik seperti kami,”

katanya.

“KL City merupakan kelab yang tidak pernah meletakkan tekanan yang besar kepada pemain, kami hanya meletakkan tekanan yang realistik dan boleh dicapai.”  

Kejayaan pada malam ini membuktikan kemampuan mereka untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan.

Pasukan The City Boys berjaya mempamerkan aksi bertenaga di babak awal permainan sebelum Tampines Rovers menggandakan asakan pada babak kedua.

“Sepatutnya kita mampu menang lebih berdasarkan persembahan menakjubkan yang telah ditunjukkan tetapi apa yang paling penting adalah kita memenangi perlawanan untuk terus mara.”

Serangan demi serangan yang dilakukan oleh pasukan dari Singapura tersebut tidak langsung menggugat kemampuan barisan pertahanan KL City untuk terus bertahan sehingga ke minit akhir perlawanan.

“Yang pasti, KL City mempunyai pemain yang cukup bersedia untuk diturunkan pada peringkat seterusnya.”

Kehadiran pemain baru seperti Jordan Mintah yang dipinjam dari pasukan Terengganu FC II akan memberi pilihan yang secukupnya kepada ketua jurulatih Bojan Hodak dalam memilih kesebelasan utama terbaik untuk meneruskan saingan di peringkat seterusnya.

Stanley berjaya membawa perubahan positif sejak dilantik menjadi CEO KL City pada bulan Disember 2020.

Pencapaian terbaik pasukan ini adalah ketika menewaskan pasukan Johor Darul Ta’zim untuk memenangi Piala Malaysia tahun lepas.