Pasukan B-19, Malayan Tigress jadi sandaran seterusnya julang nama negara di peringkat Asia Tenggara

470

Julai akan menjadi bulan menarik kepada penyokong bola sepak Malaysia disebabkan oleh dua skuad kebangsaan akan berentap di kejohanan besar rantau Asia Tenggara.

Pasukan bola sepak B-19 negara di bawah kendalian ketua jurulatih, Hassan Sazali akan menggalas cabaran di Piala AFF B-19 yang akan diadakan di Indonesia bermula Sabtu ini.


Manakala, pasukan wanita negara turut berangkat ke Filipina untuk beraksi di Piala AFF Wanita yang akan berlangsung dari 4 hingga 17 Julai.

Besar harapan yang diletakkan oleh penyokong agar kedua-dua pasukan ini dapat mencapai sasaran yang diberi.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meletakkan separuh akhir sebagai matlamat utama pasukan B-19 negara.

Sasaran itu dilihat sebagai masuk akal berdasarkan laluan skuad negara di peringkat kumpulan yang boleh dianggap mudah.

Selain itu, 25 orang pemain yang dipilih oleh Hassan merupakan barisan pemain yang memiliki minit permainan yang mencukupi di peringkat liga.

Lebih menarik, kebanyakan dari mereka mempunyai pengalaman beraksi sebagai sebuah pasukan dan ini akan menjadi antara kelebihan utama yang mampu membantu pasukan ini mara sekurang-kurangnya ke pusingan separuh akhir.

Pencapaian terbaik di kejohanan ini adalah pada tiga tahun lalu apabila skuad B-19 berjaya menjuarai Piala AFF B-19 2018 yang turut diadakan di Indonesia.

Pada masa yang sama, aksi bertenaga turut ditagih pada skuad wanita kebangsaan yang akan memulakan saingan pada 4 Julai menentang pasukan Singapura.

Pasukan negara berhadapan laluan getir apabila diletakkan di dalam satu kumpulan bersama tuan rumah Filipina, Australia yang akan bermain di Piala Dunia, di samping Thailand, Singapura dan Indonesia.

Australia dilihat sebagai antara pencabar utama kejohanan berdasarkan senarai pemain yang dimiliki oleh mereka ditambah dengan pemenang Pemain Tahunan PFA Wanita Liga Perdana Inggeris, Sam Kerr di bahagian serangan.

Pada masa yang sama, Filipina merupakan antara lawan yang sukar ekoran daripada pencapian mengagumkan pasukan wanita mereka yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia Wanita tahun ini.

Kelebihan fizikal yang dimiliki oleh pasukan lain akan menjadi cabaran utama pemain wanita negara untuk bersaing.

Tiada sebarang sasaran spesifik diletakkan untuk skuad wanita negara berdasarkan pencapaian semasa pasukan ini.

Namun, peminat tetap mengharapkan aksi terbaik dapat ditunjukkan oleh barisan Malayan Tigress dengan penambahan pemain yang beraksi bersama pasukan C.F. Pozuelo di Sepanyol, Berlin Leong.

Kejayaan mengikat pasukan Bangladesh tanpa jaringan pada perlawanan persahabatan kedua selepas tewas 6-0 sebelum ini, boleh menjadi titik kebangkitan skuad ini di pentas Asia Tenggara.

Diharap agar kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman FC melangkah ke pusingan kalah mati kejohanan kelab Asia menjadi motivasi terbaik untuk kedua-dua pasukan ini berjuang sehabis baik.

Lebih membanggakan, Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan di kelompok 9 terbaik Asia berdasarkan carta terkini yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk ranking AFC Club Competitions.

Tambahan lagi, sejarah layak ke Piala Asia 2023 yang telah dilakar oleh Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon boleh dijadikan pembakar semangat untuk kedua-dua skuad mempamerkan kualiti permainan yang mengagumkan.