Peningkatan bola sepak Vietnam harus dijadikan inspirasi Malaysia

2,141

Kebangkitan mendadak bola sepak Vietnam sejak beberapa tahun ini menjadi salah satu perkara yang menjadi perhatian dunia terutama peminat di Asia Tenggara.

Malah Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino turut memuji peningkatan yang ditunjukkan oleh bola sepak Vietnam dalam satu pertemuan dengan delegasi dari Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) yang diketuai oleh pemangku presidennya, Dr. Tran Quoc Tuan di Paris baru-baru ini.


Pertemuan itu turut disertai Naib Presiden Kanan FIFA dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman Bin Ebrahim Al Khalifa.

Mendapat pengiktirafan daripada ketua badan induk bola sepak dunia seperti itu ternyata satu penghargaan yang tertinggi dan membuktikan bola sepak negara itu di landasan yang betul.

Ketika ketua jurulatih, Park Hang Seo dari Korea Selatan mula dilantik pada September 2017, ranking Vietnam ketika itu berada pada tangga 134 dunia.

Mereka menunjukkan peningkatan yang amat mendadak dan kini berada di kedudukan ke-97 dunia.

Dalam tempoh itu juga, Malaysia masih bergelut untuk berada di bawah ranking 150 dunia dan kini berada di ranking 147 dunia.

Vietnam kini juga sudah fokus untuk mencabar kuasa-kuasa besar Asia dan menjadikan pentas Asia Tenggara hanya sebagai platform mencungkil bakat pemain-pemain muda.

Di samping itu, pasukan wanita Vietnam juga sudah melayakkan diri ke Piala Dunia Wanita 2023.

Ini menunukkan perbezaan jelas dari segi perancangan dan pembangunan bola sepak antara kedua-dua negara.

Malaysia kini sudah mempunyai ketua jurulatih baru dan dari segi gaya permainan menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini.

Kejayaan layak ke Piala Asia 2023 baru-baru ini diharap menjadi titik permulaan kepada kebangkitan pasukan bola sepak negara.

Peningkatan pasukan bola sepak Vietnam harus dijadikan contoh ideal bukan sahaja buat Malaysia tetapi juga negara-negara Asia Tenggara lain untuk mencabar kuasa-kuasa besar Asia seperti Korea Selatan, Jepun, Iran, Arab Saudi dan lain-lain.