Elak jadi mangsa provokasi, Kamil Akmal siap sedia mental berhadapan dengan Faisal Halim

2,156

Selesai saingan Piala AFC 2022, pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC akan kembali ke kancah Liga Malaysia untuk bertemu Terengganu FC di saingan Piala FA pada 6 Julai ini.

Pemain pertahanan, Kamil Akmal bakal berhadapan dengan tugas berat untuk mengawal pemain sayap Terengganu, Faisal Abdul Halim yang dikenali sebagai antara pemain licik dan merbahaya.


“Saya bersedia untuk berhadapan dengan Mickey (nama panggilan Faisal Halim) dan sebarang situasi yang akan berlaku semasa perlawanan.

Saya akan pastikan mental saya berada di tahap terbaik untuk elak daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Prestasi cemerlang Sang Kenari di pentas Asia akan terus ditagih untuk memastikan pasukan tersebut mara ke pusingan seterusnya di Piala FA.

“Kami telah mula melakukan persiapan, jurulatih telah melakukan susunan taktikal berhadapan dengan pasukan besar seperti Terengganu FC yang dibarisi pemain baik seperti Mickey.”

Kehadiran kudrat muda seperti Kamil dijangka akan menjadi senjata utama pasukan Hijau Kuning untuk kembali mendapatkan rentak dalam saingan tempatan.

Motivasi daripada pemain berpengalaman yang ada dalam pasukan sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat kepada semua pemain dalam memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan.

“Bagi saya mereka banyak membantu dari segi memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada pemain muda dalam melakukan serangan dan bertahan.”

Sebelum ini, pasukan Kedah dilihat sedikit terumbang-ambing tatkala dibolosi dengan jumlah yang agak banyak pada peringkat awal liga.

Lawan mereka, Terengganu berada dalam momentum terbaik selepas berjaya membenam pasukan Sri Pahang FC 2-1 di tempat sendiri semalam dalam saingan Liga Super.