Eksklusif: Nasib Brad Maloney akan diketahui 13 Julai ini

203

Nasib ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney hanya akan diketahui pada 13 Julai ini selepas satu mesyuarat bersama pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Maloney yang dihubungi berkata beliau kini berada di luar negara enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan hanya akan bercakap mengenai masa depannya selepas mesyuarat dengan FAM.


“Saya sedang berada di luar negara minggu ini dan akan pulang ke Malaysia minggu depan sebelum mesyuarat bersama FAM pada 13 Julai,”

katanya ringkas kepada Harimau Malaya.

Masa depan jurulatih berusia 50 tahun itu menjadi bualan peminat bola sepak tempatan selepas beberapa siri kegagalan pasukan B-23 kendaliannya sebelum ini.

Skuad Harimau Muda tersingkir awal dari saingan Piala AFF B-23 di Kemboja Februari lalu.

Mereka kemudian menduduki tempat keempat di Sukan SEA Hanou, Vietnam pada Mei lalu, dan terbaru anak buah Maloney tersingkir awal dari kejohanan Piala Asia B-23 selepas menduduki tangga tercorot dalam kumpulan tanpa sebagai kemenangan.

Dalam pada itu, kelibat pengendali dari Australia ini dilihat hadir pada perlawanan Liga Super diantara Selangor FC dan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Nama pembantu jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente kerap kali disebut sebagai pengganti kepada Maloney berikutan pengalamannya melatih pasukan B-18 Barcelona sebelum ini.

Selain itu, jurulatih dari Korea Selatan, Kim Hak-bum turut dicadangkan mengisi posisi tersebut disebabkan kejayaannya mengendalikan pasukan B-23 Korea Selatan memenangi Sukan Asia 2018 dan Piala Asia B-23 pada 2020.

Beliau juga kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir melatih skuad B-23 Korea Selatan tahun lalu.

Para peminat juga sudah tidak sabar menanti keputusan daripada FAM yang sehingga kini masih membisu mengenai masa depan Maloney.

Untuk rekod, beliau masih mempunyai kontrak sehingga Disember 2023 dan sekiranya dikekalkan, tugasan seterusnya untuk beliau adalah kelayakan Sukan Olimpik 2024 bermula tahun depan.