Faisal Halim ‘bijak’ ganggu mental pihak lawan, tetapi harus berhati-hati

3,803

Pemain Terengganu FC, Faisal Halim mencuri tumpuan pada perlawanan Liga Super ketika menentang Sri Pahang FC semalam berikutan provokasi yang dilakukan terhadap penjaga gol, Mamadou Samassa selepas menjaringkan penalti.

Insiden yang berlaku pada minit ke-79 itu menyaksikan Samassa yang tidak berpuas hati cuba meluru ke arah Faisal Halim atau lebih mesra dengan panggilan Mickey namun dihentikan oleh pengadil dan pemain lain.


Perkara itu turut mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan yang mempunyai pandangan berbelah bahagi terhadap kelakuan pemain kebangsaan itu.

Ada yang merasakan itu adalah satu tindakan yang tidak profesional dan tidak menghormati pihak lawan, namun ada juga yang berpendapat aksinya itu adalah salah satu cara untuk mengganggu mental pemain.

Mickey dalam satu hantaran TikTok menjelaskan bahawa tindakannya itu adalah disebabkan Samassa terlebih dahulu cuba membuat provokasi kepadanya.

Walau apa pun sebabnya, aksinya itu ternyata berjaya membuatkan penjaga gol itu ‘koyak’ dan emosinya terganggu.

Dari satu sudut, tindakannya itu boleh dikatakan ‘bijak’ kerana dapat mengganggu mental dan fokus pihak lawan.

Malah pemain lawan juga berisiko dikenakan kad merah kerana melakukan tindak balas terhadapnya seperti yang berlaku kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim pada perlawanan Piala Malaysia tahun lalu.

Selain itu, beberapa pemain lain seperti pemain Kedah Darul Aman FC, Syazwan Zainon dan Azamuddin Akil serta pemain KL City FC, Hadin Azman juga pernah tidak berpuas hati dengan beliau.

Namun jika dilihat dari pandangan berbeza, tindakan itu jelas tidak menghormati pihak lawan dan menunjukkan beliau tidak mempunyai semangat kesukanan.

Beliau juga harus berhati-hati kerana tindakan seperti itu sebenarnya boleh dikenakan kad berdasarkan undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu ‘unsporting behaviour’.

Apa yang dilakukan oleh Mickey adalah perkara biasa bagi mengganggu mental pihak lawan tetapi sekiranya beliau kerap melakukan sedemikian, peminat bola sepak tempatan dan pemain lawan mungkin akan hilang rasa hormat terhadapnya selepas ini.

Adakah sudah tiba masanya beliau perlahan-lahan mengikis imej ‘budak nakal’ dan menjadi pemain yang lebih matang sesuai dengan reputasi serta tahap permainannya yang kini semakin meningkat naik?

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen