Pemain perlu tampil lebih tenang pada aksi wajib menang menentang Indonesia – Jacob Joseph

283

Pasukan bola sepak wanita negara akan meneruskan saingan kumpulan Piala AFF Wanita 2022 selepas dijadual bertemu pasukan Indonesia pada perlawanan seterusnya pada Rabu.

Ketua jurulatih bola sepak wanita negara, Jacob Joseph mengakui pemainnya gagal mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan pertama Kumpulan A Piala AFF Wanita 2022 menentang Singapura.


“Persembahan tidak teratur kesemua pemain pada perlawanan pertama merupakan antara punca kita gagal untuk menang pada perlawanan pertama.

Tidak ada mana-mana pemain di dalam padang yang berjaya mengawal semula momentum pasukan sehingga ke akhir perlawanan.”

katanya.

Jacob perlu segera mencari formula terbaik bagi memperbaiki masalah yang dihadapi oleh kesemua pemainnya.

Tambahan pula, pasukan kendalian beliau masih gagal mendapatkan jaringan meskipun telah memperoleh beberapa peluang keemasan.

Pemain yang beraksi di luar negara, Berlin Leong masih belum dapat membantu pasukan selepas hanya diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan semalam.

“Berlin belum cukup bersedia untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama selepas tidak beraksi selama setahun di Sepanyol ekoran kecederaan ACL yang dihadapinya.”

Namun, kehadiran Berlin dan pengalamannya beraksi di Sepanyol akan tetap ditagih bagi membantu pasukan untuk mendapatkan momentum dan lebih teratur.

Aksi selepas ini akan menjadi misi wajib menang kepada pasukan negara sebelum bertemu dengan lawan yang lebih kuat pada baki saingan kumpulan.

“Kami harus membawa pulang tiga mata apabila menentang Indonesia.

Perlawanan menentang Indonesia adalah penting kerana pasukan seperti Australia dan Filipina akan jadi lawan yang sukar kerana mereka sudah layak ke Piala Dunia.”

Tempoh rehat ini perlu digunakan oleh barisan kejurulatihan negara untuk menganalisis dan memperbaiki kelemahan untuk mengelak daripada terus dimalukan.

Meskipun berada di ranking lebih rendah dari Malaysia, kemampuan pasukan Indonesia tidak boleh dipandang rendah oleh kesemua pemain negara.

“Walaupun tewas dengan Thailand, namun Indonesia dilihat mempunyai permainan berpasukan yang tinggi dan kami perlu mencari cara untuk mengatasi perkara ini terlebih dahulu.” kata Jacob.

Terdahulu, pasukan Indonesia telah tewas 4-0 di tangan skuad Gajah Perang pada perlawanan pertama kumpulan.