Hassan Sazali yakin kemampuan Haqimi Azim, Aliff Izwan ganti tempat Abdul Rahman
Ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Hassan Sazali Waras tidak bimbang dengan ketiadaan penyerang utama, Abdul Rahman Daud pada perlawanan menentang Kemboja di Piala AFF B-19 petang ini.
Abdul Rahman terpaksa diketepikan akibat kecederaan ketika sesi latihan baru-baru ini.
Menurut Hassan, beliau percaya dengan kemampuan dua lagi pemain lain untuk menggalas tanggungjawab di posisi tersebut.
“Bagi saya ketiadaan Abdul Rahman tidak menjejaskan perancangan saya kerana saya masih ada Haqimi Azim dan juga alif Aliff Izwan yang mampu mengisi posisi nombor sembilan.
Saya yakin dengan barisan pemain yang kita ada tetapi kita tak boleh mengambil sikap sambal lewa dan memandang mudah pasukan lawan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurutnya lagi, pasukan Kemboja mempunyai kekuatan dari segi set piece seperti yang ditunjukkan pada perlawanan menentang Singapura sebelum ini.
Selain itu, beliau juga akan memastikan anak buahnya berhati-hati dengan kemampuan pemain-pemain Kemboja melakukan larian pantas ketika menyerang.
Hassan juga turut memuji disiplin yang ditampilkan oleh pertahanan pasukan Kemboja yang sukar ditembusi lawan.
“Pada separuh masa kedua perlawanan antara kedua-dua pasukan, Singapura nampak lebih terususun dari segi pergerakan taktikal.
Namun dengan disiplin tinggi yang dipamerkan pasukan Kemboja dari segi susunan barisan pertahanan, Singapura tidak mampu menembusi mereka.”
Untuk perlawanan petang ini, Hassan berkata beliau akan menerapkan gaya permainan berintensiti tinggi seperti yang dirancang dalam sesi latihan.