Henrietta beri jaminan akan bangkit pada perlawanan wajib menang menentang Indonesia

416

Penyerang Malayan Tigress, Henrietta Justine tekad memperbaiki kesilapannya menjelang aksi kedua Kumpulan A di Piala AFF Wanita 2022 menentang Indonesia.

Pemain berusia 19 tahun itu dilihat akan terus menjadi senjata utama ketua jurulatih, Jacob Joseph dalam memastikan misi tiga mata tercapai.


Pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FASWSL) itu akan cuba untuk memberikan aksi yang terbaik dalam membantu pasukan untuk melancarkan asakan merbahaya ke arah gawang pasukan Indonesia.

“Kami sudah bersedia untuk perlawanan esok, cuma kami akan cuba tingkatkan kerjasama untuk menang dengan Indonesia atau sekurang-kurangnya seri.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Meskipun beliau dipersalahkan di atas kegagalan sebelum ini, Henrietta dilihat terus optimis bagi membantu pasukan untuk mendapatkan gol pertama pada perlawanan menentang skuad Garuda setelah kempunan pada beberapa aksi sebelum ini.

“Saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya lebih-lebih lagi kegagalan menjaringkan gol di minit akhir perlawanan.

Sekarang saya masih cuba untuk melupakan kesedihan semalam dan akan cuba bangkit pada perlawanan seterusnya.”

Skuad wanita negara perlu segera mendapatkan kembali motivasi mereka bagi mengelak daripada terus menjadi pasukan belasahan apabila dijadual bertemu lawan yang lebih sukar selepas ini seperti Filipina yang telah melakukan kejutan menewaskan pasukan Australia pada perlawanan pertama.